Anda di sini

Sabah catat jumlah kes mental tertinggi

Advertisement
 Dr Jeyaindaran (dua kanan) menunjukkan buku Prosedur Operasi Standard PPP Psikiatri yang dilancarkan sambil diperhatikan oleh Kahar (tiga kanan).
TINGKATKAN KESEDARAN: Dr Jeyaindaran (dua kanan) menunjukkan buku Prosedur Operasi Standard PPP Psikiatri yang dilancarkan sambil diperhatikan oleh Kahar (tiga kanan).

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Christina Rundi berkata tinjauan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2015, Sabah merekodkan jumlah tertinggi masalah kesihatan mental di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap KKM dapat meneruskan penghantaran pakar-pakar psikiatri ke Sabah bagi menampung keperluan perkhidmatan itu.

Ini kerana katanya, keperluan pakar psikiatri di Sabah masih tinggi disebabkan keadaan geografi negeri yang agak luas.

Dalam pada itu, hasil tinjauan KKM menunjukkan prevalen masalah kesihatan mental di sini adalah yang tertinggi seluruh negara sebanyak 42.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Standard Operating Procedures For Assistant Medical Officers In Psychiatry’, di sini pada Rabu.

Teks ucapannya disampaikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan JKNS Dr Abd Kahar Abd Asis.

Christina berkata statistik perkhidmatan psikiatri Sabah pada 2016 menunjukkan 30,675 pesakit luar menerima rawatan manakala 1,373 orang lagi menerima rawatan pesakit dalam.

Jika dibandingkan tahun sebelumnya ia menunjukkan peningkatan jumlah pesakit yang menerima rawatan dari tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Jeyaindaran Sinnadurai berkata dengan terhasilnya buku Prosedur Operasi Standard untuk Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dalam psikiatri itu mampu menjadi panduan untuk memenuhi standard penjagaan dan profesionalisme yang ditetapkan oleh KKM kepada pesakit.

Jelasnya ia diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan mematuhi standard yang ditetapkan oleh semua PPP yang memberikan penjagaan khas kepada pesakit psikiatri.

Diharap semua PPP mendapat manfaat daripada garis panduan ini semasa memberikan penjagaan kepada pesakit psikiatri.

Profesion PPP dilihat banyak perubahan positif yang dimulakan oleh Bahagian Amalan Perubatan dan Bahagian Pembangunan Perubatan KKM, serta Lembaga Pembantu Perubatan dengan penuh sokongan daripada semua perunding kanan di KKM.

Prosedur operasi standard dan garis panduan ini bertujuan menyediakan maklumat berguna untuk penjagaan yang berkualiti kepada pesakit,” jelasnya.

Advertisement