Anda di sini

Kualiti produk perlu diperhebat untuk tingkat daya saing

Advertisement

KOTA KINABALU: Kualiti penghasilan produk dan piawaian kualiti di negeri ini perlu diperhebat berikutan perkembangan industri yang sangat kompetitif pada masa ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata perkara itu penting untuk meningkatkan daya saing dan membolehkan produk diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Oleh itu, kita perlu menghasilkan produk yang lebih berkualiti, tahan lama, menarik dan inovatif…kesemua itu hanya boleh dicapai melalui pengujian yang diiktiraf. Pembangunan produk berkenaan memerlukan teknologi serta kemudahan peralatan.

Malangnya kekurangan fasiliti pengujian yang ada di Sabah menyebabkan banyak pihak industri terpaksa mendapatkan perkhidmatan pengujian di Semenanjung Malaysia dan ini melibatkan kenaikan kos operasi syarikat akibat kos penghantaran bahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Katalog Perkhidmatan dan Rundingan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Beliau berkata industri yang berasaskan komoditi di Sabah iaitu petroleum, minyak kelapa sawit dan koko melibatkan aktiviti pemprosesan dan pengeluaran.

Ke arah memastikan produk di Sabah mencapai tahap kualiti yang baik...saya difahamkan UMS telah menyediakan perkhidmatan makmal dan analisis produk.

Perkhidmatan analisis oleh UMS dapat membantu banyak pihak industri dan saya percaya perkhidmatan yang diberikan oleh UMS dapat memperkembangkan lagi industri berkenaan di Sabah,” katanya.

Katanya, perkhidmatan analisis, instrumen dan rundingan yang ditawarkan UMS adalah satu langkah yang dapat menyokong kepada pembangunan produk di Sabah.

Kerjasama strategik antara UMS dan pihak industri mampu menyokong pembangunan produk perkhidmatan dengan nilai tambah yang baharu serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan,” tambahnya.

Tan berkata kementeriannya sentiasa menyokong pembangunan industri di Sabah dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang ingin membantu dalam usaha berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata Katalog Perkhidmatan dan Rundingan UMS menyenaraikan lebih 35 analisis, lebih 100 peralatan sains untuk pengujian dan sewaan, lebih 50 peralatan pengujian dan pemprosesan makanan.

Katalog ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu perkhidmatan analitikal dan rundingan, instrumen pengukuran dan pengujian, serta kadar sewaan makmal.

Dengan adanya kepakaran dan fasiliti sedia ada, UMS berupaya melakukan pelbagai jenis pengujian dan menawarkan perkhidmatan kepada pihak industri, agensi penyelidikan, dan sektor awam,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Dr Shahril Yusof. — Bernama

Advertisement