Anda di sini

Gempa Sabah: 130 pendaki Gunung Kinabalu selamat turun

Advertisement
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang menghadapi AMS menggunakan kaedah piggyback carry turun ke Pondok Timpohon.
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang menghadapi AMS menggunakan kaedah piggyback carry turun ke Pondok Timpohon.

RANAU: Seramai 130 pendaki Gunung Kinabalu selamat tiba di Pondok Timpohon kira-kira jam 4.30 pagi tadi sebaik dibawa turun selepas gempa bumi sederhana melanda Sabah malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khairul Azuwan Ibrahim berkata operasi untuk menurunkan pendaki dikendalikan 74 anggota pelbagai agensi.

“Semasa proses menurunkan pendaki, kita membahagikan pendaki kepada lapan kumpulan keseluruhan yang dipantau oleh pasukan prnyelamat masing-masing dan turun secara berperingkat.

“Kumpulan pertama direkodkan sampai di Pondok Timpohon pada jam 1.28 pagi dan kumpulan terakhir pada jam 4.19 pagi,” katanya.

Beliau berkata selain 130 pendaki, selebih 109 individu termasuk 42 malim gunung, enam Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar), empat porter, lima SAR Taman-Taman Sabah (TTS), 12 petugas Mountain Torq, empat pekerja binaan, 30 kakitangan Sutera Harbour dan enam kakitangan taman yang berada di atas gunung semasa kejadian berjaya tiba di Pondok Timpohon.

Menurutnya sepanjang operasi menurunkan pendaki segala pergerakan bergerak dengan lancar dan hanya dua mangsa dilaporkan mengalami penyakit akut gunung (AMS).

Katanya kedua-dua mangsa wanita terbabit dibawa turun menggunakan kaedah piggyback carry oleh pasukan bomba dan kini diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemerhatian lanjut.

“Operasi menyelamat kali ini dalam keadaan terkawal berikutan pasukan kita sudah mempunyai pengalaman semasa gempa bumi tiga tahun lalu.

“76 pasukan keselamatan yang menjayakan operasi termasuklah dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (Storm), Mosar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), KKM serta TTS ,” katanya.

Dalam pada itu Khairul berkata JBPM kini melakukan tindakan pemantauan di kawasan setempat termasuk Papar, Lintas, Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Kota Belud bagi memastikan maklumat perincian tepat dapat diperoleh.

“Setakat ini pihak bomba tiada merekodkan sebarang kecederaan serta kejadian tidak diingini,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement