Anda di sini

Bangun industri getah Sarawak secara lebih terancang - Uggah

Uggah melakukan gimik pelancaran Konvensyen GAP RISDA di Betong, semalam.
Uggah melakukan gimik pelancaran Konvensyen GAP RISDA di Betong, semalam.

BETONG: Sarawak mahu menanam 200,000 hektar pokok getah untuk merancang industri getah bagi mengeluarkan getah SMR, getah latex dan pokok yang sesuai dijadikan perabot.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata industri getah Sarawak perlu dibangunkan secara lebih terancang dan teliti mengikut Pelan Induk Industri Getah bagi memenuhi permintaan serta mengurangkan penggantungan Malaysia terhadap import bahan mentah.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata Malaysia adalah pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia tetapi mengimport getah latex daripada negara jiran kerana keluaran tempatan tidak mencukupi. 

Lebih menyedihkan baka yang digunakan petani Sarawak sebelum ini hanya setakat sesuai untuk dijadikan getah SMR manakala pokoknya pula tidak sesuai untuk dijadikan perabot.

“Sekarang kita mempunyai 165,000 hektar getah. Sebahagian besar sudah ditoreh tetapi di Sarawak apabila kita menanam semula amalan kita sekarang ialah kita tebang dan kita biarkan pokok getah. 

"Sedangkan di Semenanjung Malaysia kayu pokok getah ini sumber pendapatan untuk pekebun kecil kerana kayu getah mempunyai nilai pasaran yang tinggi untuk dijadikan perabot,” jelas beliau.

Uggah berkata dengan adanya infrastruktur moden serta tanah kosong yang masih banyak untuk ditanam getah, potensi untuk membangunkan industri berteraskan getah latex seperti sarung tangan sangat besar di Sarawak.

“Tanah kita masih luas, sebab itu dalam jangkamasa 10 tahun akan datang kita mahu menambah 200,000 hektar lagi,” kata Uggah.

Dengan adanya bekalan latex yang mencukupi, Uggah yakin Sarawak mampu menarik pelabur untuk datang ke sini dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan serta menambah pendapatan petani.

“Saya sudah mengarahkan SALCRA untuk menanam 5,000 hektar getah. Kita mahu industri getah kita mempunyai dua pemain utama iaitu pekebun kecil dan ladang-ladang besar. Kita mahu keluarkan getah SMR, getah latex dan pokok getah yang sesuai untuk dijadikan perabot,” jelas beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika merasmikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) anjuran  Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Uggah berharap agensi itu akan meneruskan usaha untuk berjuang berusaha, dan membawa ke Sarawak apa apa peluang yang ada untuk menambah-baik kehidupan pekebun kecil.

Beliau juga menyeru RISDA supaya membangunkan program industri kampung di Sarawak dan seterusnya membawa syarikat untuk pasarkan produk orang kampung.

“Kita juga berharap supply chain RISDA datang membantu kita meningkatkan pendapatan petani capai RM4,000 sebulan menjelang 2030,” kata Uggah.

Uggah memuji usaha murni RISDA yang tidak putus menganjurkan program memperkasa pekebun kecil getah di Sarawak selain memberikan bantuan baja, racun serta khidmat nasihat kepada para petani tempatan.

Hadir sama, Ketua Pemuda PBB merangkap ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu serta Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi RISDA, Amran Jaafar.