Anda di sini

Sabah komited pastikan pengurusan hutan mampan

Advertisement

Mempunyai dasar kukuh mengenai hutan, pemuliharaan hidupan liar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk memastikan penggunaan sumber hutan di negeri ini adalah selaras dengan prinsip pengurusan hutan yang mampan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail berkata untuk itu, kerajaan negeri juga memperkenalkan pelbagai strategi untuk mencapai tadbir urus hutan yang baik.

Kita mempunyai dasar yang kukuh bukan sahaja mengenai hutan tetapi pemuliharaan hidupan liar dan ini menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dan komitmen sebenar dalam perkara ini,” katanya.

Abdul Rahim yang juga bekas pegawai hutan di Jabatan Perhutanan berkata pelaksanaan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di Sabah adalah sesuatu yang baik untuk mencapai sasaran jangka panjang sebanyak 30 peratus TPA di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai surat terbuka oleh 16 badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar, kepada parti-parti politik supaya memasukkan aspirasi alam sekitar dalam manifesto parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Saya menghormati kebimbangan mereka (NGO) mengenai isu alam sekitar dan saya fikir ia baik untuk  kita (kerajaan negeri) kerana kita telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan sumber semula jadi Sabah dianggap sebagai warisan semula jadi.

Malah, pada Persidangan DUN November 2016, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menyatakan  pertambahan 95,538.57 hektar ke jaringan TPA di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1,874,061 hektar atau kira-kira 26 peratus kawasan tanah Sabah.

Ini termasuk kawasan hutan simpan di Ulu Segama-Malua, Kuamut, Lembah Danum, Imbak Canyon dan Maliau Basin,” katanya.

Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) berkata satu daripada contoh ikonik usaha pemuliharaan hutan Sabah ialah Projek Pengurusan Hutan Mampan Ulu Segama-Malua (USM-SFMP) yang meliputi kawasan 241,098 hektar.

Ia adalah sebuah projek kerajaan negeri dan diuruskan bersama oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah untuk pemuliharaan dan pemulihan habitat hidupan liar terancam,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, kawasan itu telah berulang kali ditebang sejak 1960-an hingga Disember 2007 dan pada 2014, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

Hutan Simpan Ulu Segama-Malua kini semakin pulih daripada kemusnahan dan pembalakan tidak terkawal, kebakaran hutan dan pencerobohan pada masa lepas,” katanya.

Abdul Rahim berkata apa yang penting sekarang ialah keperluan untuk meningkatkan strategi  penguatkuasaan dalam melindungi bukan sahaja sumber hutan, tetapi hidupan liar.

Ia juga penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pengurusan hutan yang mampan, kerana dasar yang kukuh semata-mata tidak akan mampu bertahan tanpa penyertaan orang ramai,” katanya. — Bernama

Advertisement