Anda di sini

Peniaga, usahawan sabah perlu peka perkembangan terkini: musa

Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menyeru masyarakat peniaga dan para usahawan di negeri itu agar sentiasa peka dengan peredaran semasa bagi memastikan perniagaan mereka terus relevan dan seiring dengan perkembangan digital masa kini.

Musa berkata, masyarakat peniaga dan para usahawan tempatan juga perlu menyesuaikan diri dengan revolusi dunia perniagaan kerana kaedah pemasaran produk mahupun perkhidmatan ketika ini adalah berbeza berbanding lima atau 10 tahun lepas.

Ini penting bagi membolehkan kita (peniaga dan usahawan) mampu bersaing dalam perniagaan.

Jika kita tidak peka dengan perubahan semasa serta tidak ‘up-to-date’, kita akan tercicir dan ketinggalan di belakang selain sukar untuk bersaing dengan peniaga dan usahawan lain,” katanya dalam ucapan beliau semasa merasmikan Seminar Digital Ekonomi Sabah, di sini, semalam.

Seminar sehari anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah itu antara lain bertujuan berkongsi maklumat mengenai perkembangan kegiatan ekonomi digital di Sabah selain menjadi platform bagi membuka minda para penggiat industri tentang kepentingan pemasaran produk menggunakan keadah digital.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Musa berkata, kerajaan negeri bersedia menyesuaikan polisi, peraturan dan undang-undang untuk menerima kaedah serta cara sesuatu perniagaan itu dilakukan termasuk mengkaji serta memberi ruang bagi mempromosi aplikasi dalam sistem perniagaan dan perdagangan.

Kerajaan juga akan mengambil langkah memastikan polisi menjalankan perniagaan di Sabah adalah kondusif dan para usahawan e-Dagang dapat menjalankan perniagaan dengan mudah, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga melihat perlu lebih banyak aplikasi atau platform e-Dagang yang cekap dan berkesan bagi menggerakkan kegiatan ekonomi digital di Sabah, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyaj RM1 juta  iaitu Geran Pelancaran Khas kepada  Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri bagi pembangunan ekonomi digital Sabah. — Bernama

Advertisement