Anda di sini

Maut disyaki digilis lori muatan balak

Advertisement
 Motosikal yang berada di bawah lori treler ini dilaporkan terseret sejauh 75.5 meter dari lokasi kejadian.
TRAGIK: Motosikal yang berada di bawah lori treler ini dilaporkan terseret sejauh 75.5 meter dari lokasi kejadian.

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut disyaki digilis lori treler yang membawa muatan kayu balak di Batu 2.5 Jalan Kalabakan-Sapulut, di sini, kira-kira jam 3.30 petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata penunggang motosikal, lelaki lingkungan 40-an yang merupakan seorang buruh di Kalabakan dan warga asing, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal itu meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya sambil mengesahkan mangsa ada memakai topi keledar.

Beliau berkata pemandu treler, lelaki tempatan berusia 51 tahun yang terlibat dalam kemalangan terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku semasa penunggang motosikal dalam perjalanan dari Pekan Kalabakan menuju ke Sapulut.

Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan lori yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengelak.

Lori terbabit melanggar belakang motosikal itu sehingga menyebabkan penunggangnya tercampak kira-kira 26 meter manakala motosikal terseret sejauh 75.5 meter.

Akibat kejadian itu, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya.

Siasatan berhubung kes itu dikendalikan Pegawai Penyiasat Ins Mohd Faridzul Mohamed Yusof, mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement