Anda di sini

‘Hormati privasi penjaja’

Jawatankuasa penjaja MBKS mahu undang-undang larang orang ramai rakam gambar mereka tanpa kebenaran.

 Chan bercakap pada sesi dialog bersama Jawatankuasa Perhubungan Penjaja MBKS, semalam.
BINCANG: Chan bercakap pada sesi dialog bersama Jawatankuasa Perhubungan Penjaja MBKS, semalam.

KUCHING: Jawatankuasa Perhubungan Penjaja Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mahu undang-undang khas diperkenalkan untuk melarang orang ramai merakam gambar mereka tanpa kebenaran.

Perkara itu dibangkitkan oleh jawatankuasa tersebut pada sesi dialog bersama Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan di sini, semalam.

Menurut jawatankuasa itu, ada segelintir netizen mengambil gambar mereka tanpa kebenaran dan memuat naik ke dalam media sosial seperti Facebook dengan niat tidak baik.

Justeru, mereka mencadangkan agar MBKS memasang papan tanda melarang gambar mereka dirakam tanpa kebenaran.

Mengulas mengenai perkara itu, Chan pada sidang media selepas sesi dialog tersebut berkata, pihaknya akan memberi kerjasama dengan memasang papan tanda larangan seperti yang diminta jawatankuasa berkenaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak boleh menghalang perbuatan itu dengan menguatkuasakan undang-undang atau peraturan terutama di tempat awam terbuka seperti pasar basah dan pusat penjaja.

Kita faham, tindakan segelintar pihak ini mengganggu privasi penjaja. Jadi, mereka minta untuk meletakkan papan tanda ‘dilarang mengambil foto tanpa kebenaran.’

MBKS tiada halangan dan akan memberi kerjasama tetapi untuk kita menguatkuasa undang-undang, ia suatu yang sukar dilakukan di tempat awam lebih-lebih lagi dengan teknologi hari ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai meminta kebenaran terlebih dahulu daripada penjaja berkenaan jika mahu merakam gambar mereka.

Orang ramai juga mesti memberitahu tujuan mereka merakam gambar tersebut.

Saya minta, hormatilah privasi mereka (penjaja) biar mereka menjalankan urusan perniagaan dengan rasa selesa,” katanya.

Sementara itu, Chan meminta penjaja tidak memberi makan kepada anjing atau kucing liar yang datang ke tempat mereka berniaga.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membantu kerajaan negeri mengekang penularan wabak rabies di bandar raya Kuching khasnya.

Tindakan memberi makan kepada haiwan tanpa tuan katanya, juga boleh menjejaskan kedatangan pelanggan ke pasar basah atau pusat penjaja.

Apabila ada anjing liar khasnya di pasar basah atau pusat penjaja, bukan kita bertindak kejam terhadap haiwan ini tetapi pelanggan takut apabila anjing berkenaan menghampiri mereka terutama yang membawa anak kecil.

Ini juga antara langkah membantu kerajaan negeri membendung dan menghentikan sepenuhnya wabak rabies di Sarawak,” katanya.

Bagi tujuan itu katanya, MBKS telah meletakkan papan tanda melarang penjaja memberi makan kepada anjing dan kucing liar di pasar basah dan pusat penjaja di bawah pentadbirannya.