Anda di sini

TLDM akan guna 36 kapal baharu menerusi Transformasi 15 ke 5

Advertisement

Tingkatkan keupayaan kawal perairan, kurangkan kelas-kelas kapal

SANDAKAN: Sebanyak 36 kapal ronda generasi baharu dan kapal tugas khas pesisir pantai (LMS) akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi meningkatkan keupayaan mengawal perairan negara ini menerusi Program Transformasi 15 ke 5.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pelan jangka masa panjang itu itu sejajar dengan pelan jangka panjang TLDM untuk mengurangkan kelas-kelas kapal armada TLDM dari 15 kelas kapal kepada lima jenis sahaja.

Katanya penambahan aset TLDM berkenaan akan dibuat secara berperingkat dan setakat ini memiliki enam kapal ronda generasi baharu itu iaitu Kapal Diraja (KD) Pahang, KD Kedah, KD Selangor, KD Perak, KD Terengganu dan KD Kelantan.

Dengan kekuatan jangka panjang ini akan menyumbang kepada kawalan keselamatan di perairan negara ini secara menyeluruh dan secara tidak langsung dapat mengurangkan dari segi ancaman luar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-50 Skuadron Kapal Ronda Pasukan Simpanan ke-13 di Pangkalan TLDM Sandakan di sini, semalam.

Lima kelas kapal itu meliputi kapal tempur pesisir pantai (LCS), kapal ronda generasi baharu, kapal tugas khas pesisir pantai, kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan kapal selam.

Ahmad Kamarulzaman berkata menerusi program transformasi TLDM itu, daripada 36 kapal itu, 18 adalah membabitkan kapal ronda generasi baharu dan 18 lagi LMS.

Menurutnya penambahan 12 lagi kapal ronda generasi baharu dan 18 LMS akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata perolehan kapal ini merupakan pelaburan di peringkat nasional dalam memastikan kawalan perairan negara pada tahap terbaik.

Mengenai kawalan keselamatan di perairan negeri ini, Ahmad Kamarulzaman berkata secara berperingkat, kapal ronda generasi baharu seperti KD Kedah telah dipindahkan dari Armada Barat berpangkalan di Lumut Perak ke Armada Timur berpangkalan di Kota Kinabalu.

Katanya ia bagi menguatkan keupayaan kawalan keselamatan di perairan Sabah dan Sarawak yang dilakukan secara berperingkat. — Bernama

Advertisement