Anda di sini

Rompak warga emas, enam lelaki direman dua hari

Advertisement

MIRI: Enam lelaki termasuk seorang warga asing yang ditangkap kerana disyaki mencuri barang kemas kepunyaan seorang wanita warga emas masing-masing diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Mohd Sani Mohd Nor dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya Mohd Sani memberitahu, pada 2 Mac lalu seorang wanita warga emas telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu, 78, mendakwa sekitar jam 7 malam 1 Mac lalu, beliau mendapati beberapa barang kemas dan pelbagai wang matawang asing bernilai RM500 miliknya yang disimpan di dalam laci meja solek di bilik tidurnya telah hilang dipercayai dicuri.

Kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11 pagi, 5 Mac lalu di pinggir Jalan Raja di sini, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang berjaya menangkap tiga lelaki termasuk seorang warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Selang 50 minit kemudian, polis turut menahan tiga lagi suspek di kawasan sama kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian tersebut.

Keenam-enam suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Mohd Sani memberitahu reman empat hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 24 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan kesemua suspek, justeru membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, Majistret Zuraini Ali Musa hanya membenarkan reman dua hari dan memerintahkan kesemua suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 8 Mac ini.

Advertisement