Anda di sini

Pekerja pasar raya didakwa tumbuk, tendang rakan sekerja

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang pekerja pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menumbuk dan menendang rakan sekerjanya yang merupakan pengawal keselamatan.

Ku Ahmad Fikri Ku Abdul Halim, 24, yang bekerja sebagai penyusun barang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Kami Krishna Bahadur, 36, warga Nepal, dengan menumbuk dahi dan kepala serta menendang paha mangsa di pasar raya Giant, SS 6/12, Kelana Jaya, Petaling, di sini pada 12.15 tengah hari, 28 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun bapa tertuduh yang hadir sebagai penjamin memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anaknya baharu bekerja, manakala dia tidak bekerja.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement