Anda di sini

Melanggar lima kereta, lelaki kena 10 bulan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan khianat terhadap lima kenderaan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Awang Helmy Awang Chek, 43, dari Piasau Jaya Fasa 2 di sini didapati melakukan khianat dengan sengaja melanggar lima kereta hingga menyebabkan kerugian RM15,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.25 pagi, 14 Januari lalu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Lapangan Terbang Miri.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement