Anda di sini

Jangan perjudi masa depan pilih kerajaan salah

Advertisement
Samsudin menyumbang RM1,000 untuk tabung PIBG SK Mawar, Sandakan.
Samsudin menyumbang RM1,000 untuk tabung PIBG SK Mawar, Sandakan.

SANDAKAN: Rakyat tidak harus memperjudikan masa depan dengan memilih kerajaan yang salah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang, kata Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya.

Sambil menegaskan bahawa hanya Barisan Nasional (BN) boleh memberikan kestabilan berterusan di negara ini, beliau berkata BN adalah parti kukuh yang berjuang untuk seluruh rakyat, selain memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia. Peringatan itu bukan untuk menakut-nakutkan rakyat sebaliknya berdasarkan fakta yang ada hubung kait dengan pembangkang.

"Di Malaysia, kita boleh lihat parti-parti pembangkang yang tiada perjuangan untuk rakyat, falsafah atau prinsip, malah menubuhkan parti baharu untuk kepentingan diri sendiri. Dia nak kuasai sahaja, antara mereka bergaduh siapa nak jadi perdana menteri, itu pun belum selesai lagi," katanya semasa Majlis Penyampaian  Bantuan Awal Persekolahan  dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Mawar, Sandakan.

"Oleh itu, rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengundi, kepada siapa mereka undi, siapa yang mereka mahu jadikan pemimpin," katanya.

Samsudin yang juga Adun Sekong berkata melalui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Malaysia mencapai pelbagai kemajuan sejak lima tahun lalu.

"Transformasi negara ini adalah besar, kecepatan transformasi yang berlaku adalah yang terpantas jika dibandingkan dengan negara membangun lain dalam melaksanakan sesuatu perkara.

"Rakyat seharusnya mendapat manfaat daripada keadaan ini. Mereka perlu memberi mandat yang kuat kepada pemimpin, yang bermakna sekadar mengundi BN adalah tidak memadai. Kita memerlukan majoriti dua pertiga yang baik bagi membawa lebih banyak perubahan dan bagi melihat negara berada di tahap yang berlainan dan mara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati ibu bapa tidak menjadikan kekurangan yang ada pada keluarga, dijadikan sebagai alasan untuk tidak menghantar anak bagi melanjutkan persekolahan mereka diperingkat yang lebih tinggi, kata beliau.

Di majlis sama, beliau menyumbangkan bantuan kewangan RM1,000 kepada PIBG dan mengumumkan sumbangan 100 buah kerusi plastik melalui peruntukan Adun untuk kegunaan Sekolah.
 

Advertisement