Anda di sini

Suami isteri ditahan kes terima rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan isterinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM361,000 dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang, Sabah, tiga tahun lepas.

Menurut sumber SPRM, suami isteri tersebut masing-masing berusia 58 dan 49 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam jam 2 petang semalam.

Suspek yang ketika itu merupakan pengurus kawalan kualiti dan analisis kualiti (QA&QC) dalam projek berkenaan, disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor utama sebagai upah untuk suspek melantik  syarikat sub kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengujian paip.

Pembayaran tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat  isterinya,” kata sumber itu kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata SPRM sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes ini dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan,” katanya.

Simi berkata kedua-dua suspek dijangka dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok untuk permohonan reman. — Bernama

Advertisement