Anda di sini

Penjara lima tahun balasan mengurung ahli perniagaan

Advertisement

Bersalah atas pertuduhan pilihan menculik dengan niat mengurung

 Ang (kiri) dan Lim diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik dengan niat mengurung secara salah seorang ahli perniagaan bergelar datuk dua tahun lalu. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Ang (kiri) dan Lim diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik dengan niat mengurung secara salah seorang ahli perniagaan bergelar datuk dua tahun lalu. — Gambar Bernama

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap dua lelaki setelah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik dengan niat mengurung secara salah seorang ahli perniagaan bergelar datuk dua tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan hukuman itu ke atas Ang Boon Leong, 41, dan Lim Sin Chye, 46, serta memerintahkan tempoh hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Ang yang merupakan seorang duda ditangkap pada 7 Jan 2017 manakala Lim yang bekerja sendiri ditahan pada 23 Januari tahun yang sama.

Dalam penghakimannya, Mariana bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa tertuduh bernasib baik ditawarkan pertuduhan pilihan berbanding tuduhan asal di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Mariana menambah hukuman ke atas tertuduh perlu mengambil kira peranan yang dimainkan kedua-dua tertuduh selain faktor mereka telah menerima upah atas tugasan yang dilakukan secara rela.

Tertuduh pertama (Ang) menyampaikan maklumat mengenai pergerakan mangsa manakala tertuduh kedua (Lim) telah membuat bom palsu yang disangkut di leher mangsa dengan tujuan membuat rakaman video untuk meminta wang tebusan.

Kedua-dua tertuduh juga menyediakan minyak petrol untuk kegunaan mereka yang terlibat, selain terlibat menjaga dan mengawal mangsa serta mengambil wang tebusan,” katanya.

Ang dan Lim didakwa menculik Chin Yoke Choon, 55, pada jam 5.55 petang, 26 Disember 2015 di kawasan tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Jalan IM7/1, Bandar Indera Mahkota di sini.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan mangsa diculik dengan menggunakan kereta jenis Proton Prever yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mangsa dikurung selama 74 hari di dua lokasi iaitu di Putra Heights dan Taman Bayu Emas, Klang di Selangor sebelum dibebaskan selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM19 juta dalam mata wang Malaysia dan Singapura.

Pada prosiding itu, peguam S.Parameswaran yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman yang sesuai atas alasan pengakuan salah mereka dibuat sebaik sahaja pertuduhan pilihan ditawarkan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana kesalahan dilakukan di tempat awam pada waktu siang, yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam.

Leher mangsa disangkut dengan bom yang hanya diketahui palsu selepas kes selesai. Bayangkan ketakutan dialami mangsa selain wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa tidak diperoleh semula,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal. — Bernama

Advertisement