Anda di sini

Penduduk Pulau Gaya diharap utamakan gaya hidup sihat

Advertisement
 Edward (tengah) meninjau suasana pameran kesihatan.
UTAMAKAN KESIHATAN: Edward (tengah) meninjau suasana pameran kesihatan.

KOTA KINABALU: Penduduk Pulau Gaya diharap dapat mengutamakan gaya hidup sihat dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan kesihatan yang disediakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Edward Yong Oui Fah berkata, Program Kem Kesihatan yang dilaksanakan kerajaan harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Pulau Gaya bagi mendapatkan maklumat mengenai kesihatan.

Berdasarkan kajian, program ini diadakan disebabkan beberapa masalah yang dikenal pasti seperti ibu hamil yang berisiko tinggi menghidapi tekanan darah tinggi, kurang darah, kencing manis, kematian bayi dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, keciciran imunisasi, penyakit tibi dan tidak mengamalkan perancangan keluarga.

Masalah kesihatan sekiranya tidak dijaga boleh membawa maut. Saya berharap program ini dapat dimanfaatkan penduduk di sini bagi meningkatkan kehidupan harmoni,” katanya ketika merasmikan Program Kem Kesihatan anjuran Klinik Kesihatan Luyang di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya pada Sabtu.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi itu disebabkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang amalan gaya hidup sihat.

Katanya, pelaksanaan program yang dilakukan setiap tahun itu perlu mencapai objektif dengan meningkatkan kesedaran seterusnya mampu membantu mengurangkan kadar kematian dan penyakit berkaitan.

Selain itu, objektif dapat dicapai dengan memperkenalkan pelbagai kemudahan perkhidmatan kesihatan dan mengeratkan hubungan anggota kesihatan dengan masyarakat setempat,” katanya.

Advertisement