Anda di sini

Pegawai pemasaran didakwa miliki video dan gambar lucah

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang pegawai pemasaran didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan memiliki lebih 20 video lucah dalam telefon bimbit dan gambar lucah dalam komputer ribanya, untuk tujuan pengedaran.

M.Ganesh Kumar, 31, yang bekerja di sebuah syarikat minuman mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Ganesh Kumar didakwa dalam milikannya sebuah telefon bimbit jenis Samsung Grand yang mengandungi 23 video lucah dan sebuah komputer riba jenis Lenovo Think Pad, yang mengandungi gambar lucah bagi tujuan pengedaran.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Sg Way, di sini pada 8 pagi, 22 Feb lepas mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan wang jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Jay Moy Wei Jiun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang telah dituduh di mahkamah sebelum ini atas dua pertuduhan lain iaitu mengugut dan menghalang penjawat awam, telah memberi kerjasama yang baik termasuk tidak pernah gagal hadir mengikuti prosiding sebutan kesnya itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement