Anda di sini

Asrama blok lelaki terbakar ketika perhimpunan sekolah

Advertisement
 Kebakaran memusnahkan satu blok bangunan asrama lelaki dua tingkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Peter Mojuntin Penampang semalam. Keseluruhan kawasan tingkat dua terbakar 100 peratus, namun tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. — Gambar Bernama
MARAK: Kebakaran memusnahkan satu blok bangunan asrama lelaki dua tingkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Peter Mojuntin Penampang semalam. Keseluruhan kawasan tingkat dua terbakar 100 peratus, namun tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. — Gambar Bernama

PENAMPANG: Satu kebakaran berlaku di blok asrama sebuah sekolah menengah di sini pagi semalam ketika pelajar sedang berkumpul untuk satu perhimpunan mingguan di dewan sekolah  berhampiran asrama itu.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah di sini, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan tingkat atas blok asrama lelaki dua tingkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin di sini.

Keseluruhan kawasan (tingkat dua) terbakar 100 peratus, namun tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 8.07 pagi dan punca kebakaran sedang disiasat,” kata kenyataan itu.

Seramai 53 pegawai dan anggota diketuai Hamsa Isnurdini bersama empat jentera, dua jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan empat buah utiliti dikerahkan ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim berkata kesemua 117 penghuni asrama lelaki berkenaan akan ditempatkan sementara di satu blok sekolah berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan menyediakan tilam dan katil untuk pelajar yang terjejas.

Alhamdulillah, kesemua pelajar selamat, sekolah dan JPN bersama-sama Pejabat Pendidikan Daerah (Penampang) akan membincangkan mengenai tindakan dan rancangan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata berikutan kejadian kebakaran itu, sesi persekolahan semalam ditangguh hingga hari ini. — Bernama

Advertisement