Anda di sini

Perayaan Tahun Baharu Cina diraikan bersama, bukti wujud toleransi terbaik

Advertisement

RANAU: Sambutan secara bersama oleh semua kaum terhadap sesuatu perayaan membuktikan wujudnya toleransi terbaik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin berkata amalan murni masyarakat khasnya di daerah Ranau sememangnya sudah terkenal, malah sering dijadikan contoh atau model semangat perpaduan utuh di negara ini.

Marilah kita bersama-sama untuk terus memupuk keharmonian sesama kita, walaupun berbeza agama, budaya dan adat resam,” katanya semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 anjuran Pertubuhan Chon Chu Kung, di sini pada Jumaat.

Katanya, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang diadakan setiap tahun di Ranau diraikan oleh seluruh masyarakat setempat, malahan perayaan agama lain seperti Krismas dan Hari Raya turut diraikan bersama-sama dengan penuh kesyukuran oleh penduduk setempat.

Menurutnya, suasana meriah ketika merayakan sesuatu perayaan di samping keadaan hidup masyarakat yang aman perlu dikekalkan, dipelihara dan diwarisi demi memelihara perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau yang juga Presiden USDA turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengadakan majlis tersebut dengan meriah.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Chun Cho Kong Datuk Chua Khen Siong menyatakan tahun 2018 adalah tahun haiwan anjing dalam kalendar Cina.

Katanya, haiwan ini adalah kesayangan segolongan manusia di dunia ini kerana kesopanan dan sifat taat kepada tuannya.

Orang Cina mempunyai kasih sayang semula jadi terhadap haiwan ini dan berfikir anjing adalah setia, tidak kira betapa miskin dan dihina, haiwan itu tidak akan mengkhianati tuannya.

Bak kata pepatah, anak tidak akan berasa ibunya hodoh, anjing tidak akan meninggalkan tuannya kerana miskin,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Belia Tinagas Ranau Jackson Mudi, 32, ketika ditemui menyatakan kesyukuran kerana masyarakat Ranau hidup harmoni.

Beliau berharap dan menyarankan masyarakat khususnya para belia agar sentiasa bersatu hati menerusi nilai sikap seumpamanya iaitu mengamalkan nilai kasih sayang dan setia.

Ketua Pemuda USDA Ranau Aliyu Zinin, 46, turut menyokong saranan itu dengan menyatakan sikap hormat-menghormati adalah asas perpaduan.

Katanya, masyarakat kita sememangnya terkenal dengan nilai sikap seumpamanya yang semestinya wajar dikekalkan demi keamanan bersama.

Turut hadir ialah Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan Goegina George yang mewakili ADUN N.30 Paginatan Datuk Siringan Gubat, Setiausaha Politik ADUN N.31 Karanaan Datuk Amisah Yasin mewakili Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Pegawai Khas Parlimen Ranau Japirin Sahadi serta Michael Dunggi.

Advertisement