Anda di sini

KKJA sokong usaha kerajaan sekat penyebaran berita palsu

Advertisement
 Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Raymond Tan menyampaikan replika cek bernilai RM20,000 kepada Yong, sambil disaksikan oleh pengerusi penganjur Jimmy Goh serta barisan Ahli Jawatankuasa KKJA yang lain.
TERIMA KASIH: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Raymond Tan menyampaikan replika cek bernilai RM20,000 kepada Yong, sambil disaksikan oleh pengerusi penganjur Jimmy Goh serta barisan Ahli Jawatankuasa KKJA yang lain.

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) akan sentiasa menyokong undang-undang baharu yang digubal kerajaan dalam menyekat penyebaran berita palsu.

Pengerusi KKJA Yong Ted Phen berkata persatuan itu akan menyokong apa juga undang-undang yang diperkenalkan bagi mengambil tindakan terhadap inividu yang didapati menyebarkan berita palsu dalam laman media sosial dan Internet.

Beliau berkata, sesiapa yang melanggar undang-undang seharusnya dikenakan hukuman.

Atas sebab itu sekiranya ada undang-undang baharu diperkenalkan kerajaan, persatuan ini berharap ia tidak menyekat hak kebekasan bersuara seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Undang-undang itu juga tidak harus menghalang masyarakat umum untuk mengetahui kebenaran,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina KKJA, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi maklumat dan peningkatan penggunaan media sosial memberi impak kepada media konvensional.

Penggunaan media sosial yang begitu berleluasa memberi kesukaran kepada usaha menyatakan kebenaran sekiranya terdapat maklumat tidak sahih yang disebarkan.

Pada masa inilah media arus perdana memainkan peranan. Kita bersaing dengan media sosial setiap hari bagi mengesahkan sesuatu maklumat supaya pembaca mengetahui kesahihan maklumat mahupun berita yang disebarkan.

Ia memperlihatkan media arus perdana masih memainkan peranan penting sebagai medium penyampai berita sahih kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Yong yang juga Ketua Pemberita See Hua Daily News melahirkan penghargaan atas kesudian kerajaan negeri menyumbangkan RM20,000 kepada persatuan itu.

Sumbangan akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang membantu meningkatkan kerjasama pengamal media di negeri ini.

Selain sambutan Tahun Baharu Cina, KKJA turut mengadakan acara tahunan seperti Hari Keluarga dan Anugerah Pelajar Cemerlang serta Malam Media KKJA.

Advertisement