Anda di sini

Kerajaan belanja RM8,900 untuk setiap seorang murid tiap tahun

Advertisement

Terdapat 19 jenis bantuan persekolahan telah diperkenal kerajaan

 Kurup menyarungkan baju sekolah baharu kepada salah seorang pelajar yang layak menerima bantuan.
BANTUAN KERAJAAN: Kurup menyarungkan baju sekolah baharu kepada salah seorang pelajar yang layak menerima bantuan.

KENINGAU: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM45.9 bilion setahun bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan termasuk menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup berkata, secara purata setiap tahun kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8,900 bagi setiap seorang murid.

Katanya, terdapat 19 jenis bantuan persekolahan untuk murid telah diperkenalkan oleh kerajaan contohnya seperti Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid dan banyak lagi.

Justeru, ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan memastikan anak-anak mereka sentiasa hadir ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Back To School dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Daerah Kecil Sook, di SK Sinua di sini pada Sabtu.

Katanya, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan segala bentuk bantuan yang telah diberikan itu.

Gunakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya dan berbelanja mengikut keperluan.

Saya juga telah berusaha meningkatkan taraf pendidikan anak-anak kita khususnya di Parlimen Pensiangan ini antaranya dengan memberi penajaan akhbar Tutor selama empat tahun berturut-turut, pengambilan pelajar angkat dan dermasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 200 pelajar di Daerah Kecil Sook menerima bantuan berupa pakaian, beg, kasut dan alat tulis yang dianggarkan berjumlah RM250 bagi setiap seorang hasil sumbangan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Malaysia Berhad dan seramai 100 ibu bapa menerima Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100.

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad Mohd Nizam Ismail; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Masly Wahip dan guru-guru besar sekolah Daerah Kecil Sook.

Advertisement