Anda di sini

Yayasan Sabah tidak pernah lari daripada tanggungjawab bantu anak Sabah: Musa

Advertisement

KUDAT: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata sejak ditubuhkan Yayasan Sabah (YS) tidak pernah lari daripada tanggungjawab bagi membantu anak-anak di Sabah untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.

Beliau berkata sebagai satu kumpulan yang besar, YS akan terus mempertingkatkan usaha untuk membantu rakyat di Sabah selaras dengan objektif penubuhannya.

Ini hasrat pengasasnya, Tun Datu Mustapha Datu Harun yang menubuhkan YS untuk memberi peluang dan ruang kepada anak-anak Sabah supaya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Kita teruskan segala usaha itu dan segala pelan pembangunan diteruskan demi membela nasib seluruh rakyat Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan program jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat, peringkat Zon Pantai Barat Utara, di sini semalam.

Musa berkata, program berkenaan yang telah dilaksanakan di Sandakan dan Beaufort sebelum ini bertujuan untuk menyebarkan tentang usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sementara itu, Pengarah YS Datuk Sapawi Ahmad berkata pelbagai aktiviti diadakan pada program itu termasuk temu duga terbuka yang dilaksanakan di gerai pameran Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pameran keusahawanan agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, serta jualan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.

Oleh itu, program ini merupakan platform terbaik buat rakyat di Zon Pantai Barat Utara untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat berkaitan pembangunan negeri, sekali gus merebut peluang kerjaya yang ada.

Inilah usaha YS, melalui jerayawara ini, kita dapat membawa perkhidmatan kepada masyarakat di bawah satu bumbung. Usaha melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan ini bukan sahaja dapat mendekatkan kerajaan dengan rakyat tetapi juga merupakan satu sinergi yang mantap di antara agensi kerajaan untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement