Anda di sini

Lima bot milik PGA di Lahad Datu terbakar

Advertisement

LAHAD DATU: Lima bot milik Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditempatkan di  jeti pangkalan marin di sini terbakar dengan empat daripadanya musnah 100 peratus dalam kejadian pagi semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah dalam satu kenyataan berkata empat bot musnah itu melibatkan Bot Bangi 27 (300hp), Bot Vanguard 11 (225hp), Bot Vanguard 12 (225hp) serta Bot Cenderawasih (220hp), manakala sebuah Bot Banggi 28 (300hp) terbakar 10 peratus.

PGO Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 pagi melalui sistem MERS 999 dari pangkalan marin Lahad Datu memaklumkan kejadian tersebut,” kata kenyataan tersebut.

Menurut PGO Sabah, pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak  pada jam 12.12 tengah hari dengan menggunakan kaedah pemadaman semburan buih.

Dua belas pegawai dan anggota bomba serta sebuah jentera dan kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu terlibat dalam operasi tersebut.

PGO Sabah turut melaporkan insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kematian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — Bernama

Advertisement