Anda di sini

‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ konsert animasi pertama ke layar perak

Advertisement
 (Dari kiri) Hairulfaizalizwan (Penerbit Konsert Hora Horey Didi & Friends), Sinan Ismail (Pengarah Konsert Hora Horey Didi & Friends), Putri Yasmin Megat Zaharuddin (Naib Presiden Gen Next ASTRO), Datuk Yasmin Mahmood (Ketua Pegawai Eksekutif MDEC), Mastura Mohd Khalid (Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN), Tomok, dan Hasnul Hadi Shamsudin (Naib Presiden Kandungan Kreatif & Teknologi MDEC) semasa pelancaran filem konsert itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KE LAYAR PERAK: (Dari kiri) Hairulfaizalizwan (Penerbit Konsert Hora Horey Didi & Friends), Sinan Ismail (Pengarah Konsert Hora Horey Didi & Friends), Putri Yasmin Megat Zaharuddin (Naib Presiden Gen Next ASTRO), Datuk Yasmin Mahmood (Ketua Pegawai Eksekutif MDEC), Mastura Mohd Khalid (Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN), Tomok, dan Hasnul Hadi Shamsudin (Naib Presiden Kandungan Kreatif & Teknologi MDEC) semasa pelancaran filem konsert itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BERMULA dengan dendangan siri lagu kanak-kanak di YouTube, kemudian ke terbitan cerita pendek menerusi ‘Cerita-Cerita Didi & Friends’ pada tahun lalu, animasi kanak-kanak popular Didi & Friends tampil lebih gah pada tahun 2018 dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Konsert yang dijayakan oleh watak Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya ini merupakan konsert animasi pertama yang ditayangkan di layar perak dan akan membuka tirai persembahan bermula pada 10 Mac di pawagam TGV seluruh Malaysia dan The Mall, Brunei sempena cuti persekolahan yang bakal tiba.

Pembikinan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ mendapat sentuhan pencipta asal Didi & Friends, Sinan Ismail selaku Pengarah dan juga Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian selaku Penerbit.

Penonton akan dihiburkan selama 80 minit dengan persembahan 30 buah lagu di mana 17 daripadanya merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu.

Tujuh belas lagu-lagu baharu yang akan dipersembahkan secara eksklusif dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini adalah Oh Didi, Tik Tok, Mandi, Terima Kasih Cikgu, Ibu dan Anak, Traktor Pak Atan, Kereta Api Didi, Pop Baby Dino, Pelangi, Mon Dah Datang, Lagu Kek, Menari dan Berhenti, 10 Biji Durian, Bangau Oh Bangau, Raja Yang Gembira, Eh Wau Bulan dan Dunia Harmoni.

Selain itu, ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ juga akan memperkenalkan tiga watak baharu yang juga merupakan sahabat kepada Didi iaitu Baby Dino yang merupakan seekor dinosaur comel berwarna merah jambu, Kak Hani si koala yang petah berkata-kata dan juga Abang Paan si ayam yang sentiasa bergaya dengan topi birunya.

Kak Hani dan Abang Paan merupakan pengacara ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Terdapat enam segmen dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam setiap segmen dikategorikan mengikut tema serta mesej yang diangkat oleh lagu tersebut iaitu tema kekeluargaan, kenderaan, personaliti peribadi, lagu-lagu aksi, alam semulajadi dan lagu tradisional.

Istimewanya ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’, ikon negara yang cukup unggul lagi disegani dalam industri hiburan tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, turut menjayakan konsert animasi ini dengan mendendangkan lagu bertajuk ‘Oh Nana’. Persembahan lagu tersebut dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ memperlihatkan biduanita negara ini dizahirkan dalam bentuk karakter animasi 3D dan dikenali dengan panggilan ‘Mak Iti’.

Selain Siti Nurhaliza, seorang lagi penyanyi lelaki popular negara, Tomok, turut membuat penampilan istimewa dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dengan persembahan lagu bertajuk ‘Tayar Bas’.

Kehadiran Tomok dalam persembahan lagu tersebut merupakan satu-satunya kemunculan karakter bukan animasi yang hadir dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Penampilan istimewa lain yang menanti penonton adalah kemunculan pasangan karakter animasi Islamik yang kian mendapat tempat dalam kalangan anak-anak kecil, Omar & Hana.

Mereka akan mem-persembahkan sebuah lagu berjudul ‘Anggota Badan’ bersama Didi, Nana, Jojo dan Pak Atan.

Setiap panggung yang menayangkan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ di pawagam TGV mempunyai set yang mesra kanak-kanak di mana efek pencahayaan yang digunakan adalah lebih terang (bagi menarik perhatian kanak-kanak), mempunyai kemudahan menukar lampin bayi dan memberi kebebasan kepada penonton cilik untuk bergerak aktif (menari dan menyanyi) semasa menonton konsert.

Sebagai sebahagian daripada rangka promosi untuk meraikan kejayaan Didi & Friends menembusi pawagam-pawagam TGV di seluruh Malaysia, siri jelajah ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ akan dijalankan di dua lokasi iaitu di Johor (Tebrau City, 13 - 25 Mac) dan Kuala Lumpur (Sunway Velocity Mall (15 - 25 Mac).

Selain itu, peminat animasi ini kini boleh menyanyikan lagu-lagu popular Didi & Friends bersama keluarga dan rakan-rakan di pusat karaoke keluarga Neway Karaoke dan Redbox Karaoke bermula pada Februari 2018.

Persembahan Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ boleh ditonton di pawagam-pawagam TGV seluruh Malaysia mulai 10 Mac 2018 dengan harga tiket serendah RM9 bagi kanak-kanak dan RM14 bagi dewasa.

Advertisement