Anda di sini

HUMS akan jadi hospital pengajar pintar di Sabah: Najib

Advertisement

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan persetujuan secara prinsip untuk menjadikan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sebagai hospital pengajar pintar bagi melonjakkan lagi kualiti pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Najib berkata kerajaan akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan HUMS sebagai hospital pengajar pintar secara berperingkat sekali gus memastikan hospital berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah khususnya pelajar perubatan di universiti berkenaan.

Kita (kerajaan) boleh menjadikan hospital pengajar pintar ini sebagai projek ikonik yang tidak hanya menguntungkan pelajar tetapi juga rakyat Sabah,” katanya berucap melancarkan Projek Pembangunan HUMS di sini semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Menteri  Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yan Kain Ching dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Najib berkata penyediaan perkhidmatan perubatan dan akses kesihatan berkualiti untuk rakyat telah meletakkan Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam perkhidmatan kesihatan yang diiktiraf oleh sebuah badan antarabangsa pada 29 Jan lalu.

Rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti dengan kos hanya RM1 jika ke Klinik 1Malaysia atau klinik kesihatan kerajaan lain selain rakyat turut mendapat ubat secara percuma,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan akan terus komited memastikan kemudahan kesihatan di Sabah diberi perhatian bagi memastikan rakyat di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar dapat menikmati penyediaan perkhidmatan perubatan terbaik dan optimum dengan kos minimum.

Sementara itu, Yap ketika berucap berkata hospital pengajar pintar itu bakal merealisasikan harapan UMS untuk memiliki hospital sendiri bagi kemudahan pelajar Fakulti Perubatan universiti itu menjalankan aktiviti pengajaran dan latihan klinikal.

Katanya sejumlah RM652 juta diperuntukkan bagi membina hospital itu dengan keluasan lantai 110,853 meter persegi yang mampu memuatkan 400 katil, dan pembinaan hospital itu juga adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

UMS merupakan antara 12 daripada 20 universiti awam di Malaysia yang mempunyai Fakulti Perubatan. Setiap program pengajian (perubatan) di universiti memerlukan hospital pengajar sendiri bagi membolehkan pengalaman secara langsung diterapkan kepada pelajar.

Selain sebagai hospital bagi proses pengajaran dan latihan klinikal pelajar perubatan UMS, hospital ini juga bakal memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Sabah sekali gus melonjakkan lagi tahap aksesibiliti kemudahan kesihatan berkualiti untuk rakyat di negeri ini,” katanya.

Yap berkata pembangunan hospital pengajar pintar itu juga akan membawa pencetus perubahan selain menjadi pemangkin kepada pembangunan Sabah di era Revolusi Industri 4.0.

HUMS akan dibangunkan sebagai sebuah hospital pintar dilengkapi pelbagai kemudahan dan teknologi digital terkini termasuk rekod perubatan digital, integrasi antara peralatan perubatan dan bukan peralatan perubatan, bangunan, kelas  dan dewan peperiksaan pintar.

Antara perkhidmatan yang bakal disediakan termasuk doktor pakar, pusat pembelajaran pelajar perubatan dan jururawat, perkhidmatan pakar ortodontik, perkhidmatan kecemasan dan trauma 24 jam, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pelajar, pusat farmasi, pusat diagnostik makmal dan pusat radiologi.

Perkhidmatan lain ialah penambahan mesin pusat fisioterapi, promosi kesihatan dan gaya hidup sihat, perkhidmatan fisioterapi dan kecederaan sukan, perkhidmatan penguatkuasaan kesihatan, pemeriksaan pengendali makanan dan klinik berhenti merokok. — Bernama

Advertisement