Anda di sini

Gajah masuk ke dewan makan asrama SMK Telupid, ‘ceroboh’ Balai Polis Telupid

Advertisement
 Gajah yang memasuki dewan makan asrama SMK Telupid menggemparkan warga sekolah.
GEMPAR: Gajah yang memasuki dewan makan asrama SMK Telupid menggemparkan warga sekolah.

TELUPID: Kehadiran sekumpulan galah di beberapa lokasi di Telupid sejak bulan Januari lalu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan pelbagai jenis tanaman, malah kini dilihat boleh mengancam keselamatan penduduk termasuk warga sekolah.

Dalam kejadian terbaharu pada Khamis, seekor gajah dewasa masuk ke dalam dewan makan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi.

Pengetua SMK Telupid Rukimin Sulit berkata, kejadian yang pertama kali berlaku itu (gajah masuk dewan) mula disedari pengawal keselamatan sekolah apabila terdengar bunyi haiwan itu yang memasuki kawasan sekolah sebelum masuk ke dalam dewan makan asrama.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku terhadap warga sekolah atau kerosakan di bangunan dewan makan asrama pelajar itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Katanya, kemunculan sekumpulan puluhan ekor gajah berhampiran kawasan sekolah telah berlaku sejak 17 Februari lalu, namun kejadian ‘gajah masuk dewan’ bukan sahaja menggemparkan warga sekolah, malah menimbulkan kegusaran dan ancaman terhadap keselamatan pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah.

Walaupun pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) telah dan sedang mengadakan operasi mengawal kehadiran gajah-gajah berkenaan, namun pihaknya berharap tindakan lebih drastik secara bersepadu dapat dilakukan untuk mengawal dan mengatasi isu ancaman hidupan liar itu demi keselamatan.

Beliau menjelaskan, gerombolan gajah terbabit pada mula kehadirannya hanya berada di kawasan luar pagar sekolah namun kemudiannya merosakkan pagar dawai serta memasuki kawasan sekolah setiap hari sehingga kini.

Ini menyebabkan keadaan tidak selesa termasuk kebimbangan warga sekolah terhadap aspek keselamatan dan kini hampir 60 peratus dalam kawasan sekolah telah ‘diteroka’ oleh kumpulan gajah berkenaan,” katanya.

Rukimin berkata, pihak pentadbiran sekolah telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memperketatkan lagi pengawasan dan kawalan 24 jam di kawasan sekolah, termasuk meminta para pelajar agar tidak panik, melihat dengan tenang tanpa melakukan ‘provokasi’ terhadap haiwan terbabit.

Katanya, pihak kakitangan JHL yang ‘berkampung’ di Telupid sejak kehadiran haiwan itu bertindak menghalau gajah-gajah terbabit dari kawasan sekolah, namun ia tetap muncul kembali dan kini bagaikan satu ancaman yang masih berterusan, khasnya kepada warga sekolah.

Beliau menambah, kehadiran gajah di kawasan sekolah bukan sahaja mengancam keselamatan, tetapi juga menyebabkan kemusnahan landskap bunga-bungaan dan keceriaan kawasan sekolah termasuklah pelbagai jenis tanaman seperti kelapa, pisang, pokok palpa dan sebagainya.

Lebih 40 meter pagar dawai di tepi kawasan sekolah yang berhampiran kawasan hutan antara sekolah dan Balai Polis Telupid yang sering menjadi laluan gajah telah musnah,” katanya sambil berharap perkara itu mendapat perhatian khusus untuk membaiki kerosakan atau membina pagar separuh konkrit yang lebih kukuh demi mengelakkan pencerobohan dan ancaman gajah.

Beliau telah melaporkan perkara itu kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid, selain membuat laporan polis di Balai Polis Telupid, petang Khamis.

Untuk rekod, SMK Telupid yang mula beroperasi sejak tahun 2000, kini mempunyai 1,339 pelajar 99 guru, manakala 395 daripada pelajar itu tinggal di asrama.

Sementara itu, selain masuk menceroboh kawasan SMK telupid, sekumpulan kira-kira 10 gajah turut ‘menyerang’ Balai Polis Pekan Telupid kira-kira jam 9 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran Supt Shivananthan A/L R Velauthan berkata dalam kejadian itu kumpulan gajah terbabit memasuki kawasan balai selepas merosakkan pagar.

Katanya, beberapa lokasi kawasan pagar balai itu telah mengalami kerosakan (berlubang) akibat dirosakkan gajah terbabit menyebabkan haiwan berkenaan semakin bebas memasuki kawasan balai.

Kami turut dikejar oleh gajah semasa membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap kumpulan gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi dan mereka sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan kecuali kerosakan sebahagian pagar Balai Polis Telupid. 

Beliau menyifatkan kehadiran gajah di Telupid sebagai semakin menjadi-jadi dan menasihatkan penduduk lebih berhati-hati serta berwaspada.

Menurutnya, pihak berkuasa yang berkaitan khasnya Jabatan Hidupan Liar dan Wildlife Rescue Unit kini giat menjalankan operasi menghalau dan mengawal kehadiran gajah-gajah terbabit sejak sebulan lalu dan meminta orang ramai khasnya para penduduk di kawasan Telupid agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak yang berkenaan.

Selain SMK Telupid dan Balai Polis Telupid, beberapa kawasan perkampungan turut menerima impak kemusnahan tanaman dan ancaman keselamatan ekoran kehadiran kumpulan gajah berkenaan.

Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat berkata antara kampung yang turut terlibat ancaman gajah ialah Kg Gambaron, Kg Batu 4 Telupid, Kg Liningkung dan beberapa kampung berhampiran.

Beliau turut menasihatkan para penduduk agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan segera melaporkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) jika terdapat kehadiran atau ancaman gajah di kawasan mereka kerana pihak berkuasa yang berkenaan kini sentiasa bersiap sedia mengawasi dan memantau keadaan secara berterusan demi keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

Advertisement