Anda di sini

Peminat, selebriti Bollywood beri penghormatan terakhir kepada Sridevi

Advertisement

PEMINAT dan selebriti Bollywood pada Rabu memberi penghormatan terakhir kepada pelakon Sridevi yang meninggal dunia Sabtu lepas di Dubai.

Mayat pelakon berusia 54 tahun itu dibawa pulang ke Mumbai pada malam Selasa dari Dubai menggunakan kapal terbang milik bilionair India, Anil Ambani dan kerandanya ditutup dengan bendera negara.

Mayatnya dibalut dengan sari berwarna merah dan ditempatkan di Celebration Sports Club berdekatan kediamannya di Lokhandwala bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada pelakon kesayangan mereka itu.

Ramai selebriti filem terkenal termasuk Madhuri Dixit, Rani Mukerji, Karan Johar, Aishwarya Rai, Jaya Bachchan, Soha Ali Khan, Imtiaz Ali, Rekha dan Arbaaz Khan memberikan penghormatan terakhir mereka.

Sayangnya mendiang kepada saya sangat luar biasa dan saya merasakan telah kehilangan panduan dalam hidup saya,” kata Rani.

Ratusan anggota polis berusaha mengawal orang ramai ketika perarakan mengusung jenazah Sridevi tiba di lokasi krematorium.

Menurut pihak berkuasa Dubai Ahad lepas, bedah siasat mendapati Sridevi meninggal dunia selepas lemas di dalam tab mandi di bilik hotel didiaminya.

Ketika mengumumkan pemergian bintang terkenal itu pada Sabtu, anggota keluarganya menyatakan bahawa Sridevi meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau ke Emiriah Arab Bersatu dengan suaminya, Boney Kapoor dan anak perempuannya Kushi untuk menghadiri perkahwinan keluarga, bagaimanapun suaminya telah pulang ke Mumbai selepas majlis itu dan membuat keputusan untuk kembali ke Dubai bagi memberi kejutan buat isterinya, lapor media tempatan. 

Sridevi dilahirkan di Tamil Nadu dan membintangi filem selatan India sebelum memasuki dunia Bollywood.

Beliau berlakon dalam kira-kira 300 filem sepanjang kariernya beberapa dekad lepas. — Bernama

Advertisement