Anda di sini

Lebih 20 rumah setinggan musnah dalam kebakaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Lebih 20 rumah setinggan di Kampung Cenderamata 2, Likas dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.24 pagi sebelum menggerakkan tiga jentera berserta 31 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan berkenaan, operasi memadam kebakaran masih diteruskan di lokasi kejadian ketika berita ini ditulis.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita nyaris maut selepas rumah mereka di Kampung Batu 60, Jalan Bambangan, Beaufort, 90 kilometer dari sini dihanyutkan arus deras atau kepala air petang kelmarin.

Dalam kenyataan PGO semalam, dua mangsa itu Rozlin Epal, 41, dan Shirley Pius, 21, terpaksa berpaut pada sebatang pokok untuk menyelamatkan diri selepas masing-masing dihanyutkan air deras kira-kira 50 meter dan 100 meter.

Kedua-duanya kemudian diselamatkan anggota keluarga mereka.

Sementara itu, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian menasihati penduduk yang tinggal di tebing sungai agar sentiasa berwaspada dan berpindah sekiranya paras air sungai naik semula. — Bernama

Advertisement