Anda di sini

Kementerian Kesihatan sasar 48 klinik kesihatan terap konsep doktor keluarga setahun

Advertisement

TAWAU: Kementerian Kesihatan menyasarkan 48 klinik kesihatan dapat diterapkan dengan konsep doktor keluarga (FDC) pada setiap tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata konsep itu dibangunkan di peringkat klinik kesihatan sebagai akses dan meningkatkan penerimaan rakyat kepada perkhidmatan kesihatan primer.

Sehingga kini terdapat 110 klinik kesihatan seluruh negara mengamalkan FDC termasuk di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Lahad  Datu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan FDC klinik kesihatan Tawau di sini, semalam.

Dr Azman berkata melalui konsep FDC itu membolehkan individu dan isu rumah mendapatkan rawatan berterusan dari satu doktor keluarga dan doktor itu juga bertanggungjawab ke atas status kesihatan populasi di bawah jagaannya.

Hal ini menjadikan perkhidmatan diberikan lebih berkualiti serta dapat mendidik pesakit kepada perkhidmatan lebih bersistem dengan kaedah temu janji sekali gus mengurangkan masa menunggu di klinik.

Perkhidmatan diberikan termasuklah pemeriksaan kesihatan melalui saringan kesihatan, pengurusan kes pesakit luar dan penyakit kronik (seperti darah tinggi, kencing manis), pengurusan ibu mengandung, serta kesihatan kanak-kanak dan vaksinasi,” katanya.

Menurutnya, perkara itu seiring dengan hasrat kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Kementerian Kesihatan dapat merakyatkan penyampaian perkhidmatan  kesihatan  dengan cepat, berkualiti dan proaktif.

Apa yang mustahak tanpa kerjasama daripada panel kesihatan klinik kesihatan di seluruh negara kita tidak berjaya untuk merakyatkan perkhidmatan,” katanya panel kesihatan berperanan menjadi jambatan penghubung antara warga kesihatan dengan rakyat.

FDC mula dilaksanakan di klinik kesihatan Tawau bermula 17 Okt 2017 dengan setiap individu dan isi rumah dibahagi mengikut zon iaitu zon A, B, C dan D melibatkan kawasan Apas dan Balung.

Setiap zon akan dijaga sepasukan kesihatan komuniti terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan jururawat masyarakat termasuk pegawai farmasi dan juru X-ray. — Bernama

Advertisement