Anda di sini

Kastam Sabah rampas lapan kilogram syabu bernilai RM570,000 di KKIA

Advertisement
 Hamzah (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan dadah jenis syabu ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam. — Gambar Bernama
RAMPASAN: Hamzah (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan dadah jenis syabu ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah jenis Methamphetamine atau syabu seberat 8 kilogram bernilai kira-kira RM570,000 ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini Ahad lepas.

Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang berkata dadah itu ditemui di dalam bagasi seorang penumpang lelaki yang tiba di KKIA kira-kira pukul 11.30 malam, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pegawai Kastam KKIA mengimbas bagasi dan mendapati ada barangan mencurigakan di dalamnya. Apabila diperiksa didapati  lapan bungkusan teh hijau yang dibungkus menggunakan selimut di dalam bagasi berkenaan.

Apabila kelapan-lapan bungkusan teh hijau itu dibuka,  terdapat paket berisi ketulan lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat lapan kilogram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata bagaimanapun pihaknya gagal menahan pemilik bagasi berkenaan yang meloloskan diri setelah dikejar  anggota JKDM.

Beliau berkata siasatan mendapati pemilik bagasi itu berusia 35 tahun dan  mempunyai kad pengenalan merah dan merupakan Pemastautin Tetap di negara ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan dan pihaknya sedang giat mengesan pemilik dadah berkenaan.

Sementara itu, Hamzah berkata JKDM akan terus mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk negara dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkenaan untuk membanteras penyeludupan masuk barang terlarang di negara ini.

Kita juga akan memantapkan lagi kerjasama dengan pihak lapangan terbang dengan memperketatkan kawalan khususnya dari segi pemeriksaan di pintu masuk bagasi,” tambahnya. — Bernama

Advertisement