Anda di sini

TKPM Tawau peluang peserta jana pendapatan lumayan

Advertisement

Hasil dipasarkan hingga ke Sarawak, diproses menjadi produk hiliran

TAWAU: Tapak Kekal Pengeluaran Malaysia (TKPM) Batu 15, Jalan Apas, yang diwujudkan hasil kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan di sini sejak tujuh tahun lalu, berjaya membuka peluang kepada 45 peserta terpilih untuk melibatkan diri dalam ekonomi berasaskan pertanian.

Kesemua peserta terlibat bukan sahaja mampu menghasilkan tanaman segar untuk pasaran setempat malah turut memenuhi permintaan dari luar daerah sejauh Kota Kinabalu hingga ke negeri jiran, Sarawak.

Malah hasil tanaman makanan mereka bukan sekadar dipasarkan dalam bentuk segar tetapi turut diproses menjadi produk hiliran, sekali gus mempelbagaikan bentuk hasil pertanian TKPM seluas 91.6 hektar itu.

Seorang peserta, Pasa Ahmad, 65, berkata pada mulanya dia hanya bercucuk tanam di halaman rumahnya sebagai hobi, namun tidak menyangka ia kemudiannya memberi pulangan menguntungkan kepada dirinya sekeluarga selepas menjadi peserta dalam TKPM 2010.

Melihat pertanian mempunyai potensi yang tinggi, saya memohon satu lot tanah dalam TKPM itu dan mengusahakannya secara komersial dengan tanaman sayuran seperti kacang dan timun.

Kini, keluasan tanah 1.6 hektar (empat ekar) yang saya usahakan turut ditanami pelbagai sayuran lain seperti peria dan labu kuning,” katanya kepada Bernama.

Pasa yang kini mula berjinak dengan tanaman cili padi semerah berdasarkan permintaan yang tinggi berkata, kesemua hasil tanaman itu akan dipetik setiap dua hari dan dijual secara borong di pasar dengan keuntungan antara RM200 hingga RM300.

Pada masa sama katanya, beliau kini dalam proses membersihkan kawasan untuk penanaman tembikai dan menjangka pendapatannya hasil tanaman cili padi semerah dan tembikai apabila kelak berjaya dilaksanakan mampu mencecah RM3,000 sebulan.

Beliau berkata projek TKPM itu menjadi platform terbaik untuk peserta mengorak langkah dan terus berjaya dalam sektor pertanian, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan negara yang mapan serta berkualiti.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta yang mengusahakan tanaman tembikai, Rakmah Manti, 43, berkata, idea kerajaan mewujudkan TKPM di Batu 15 itu berjaya membantu penduduk tempatan untuk bangun berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Bermula dengan minat dan belajar cara penanaman tembikai yang betul pada 2006, Rakmah berkata tanaman tembikainya pernah dijual hingga ke Sarawak selain menjadi pembekal domestik termasuk ke Sandakan, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Kami mengusahakan tanaman tembikai kahwin (tiada biji) serta tembikai biasa (ada biji) di dua lot berkeluasan masing-masing 1.21 hektar dan 2.02 hektar serta pengeluarannya mampu mencecah antara tiga hingga 25 tan metrik setiap dua bulan sekali, dan mampu menjana pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Selain mengusahakan tanaman tembikai beliau turut mempelbagaikan hasil keluaran pertaniannya dengan menghasilkan produk sos cili berasaskan tembikai.

Pada mulanya saya belajar membuat jem tembikai bersama rakan, tetapi jem itu bertahan hanya tiga hari. Selepas itu ia berkulat. Saya cuba lagi hasilkan sos cili tembikai dan meminta bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagaimana cara sos itu boleh tahan lama,” katanya.

Katanya, satu sesi penghasilan 100 botol sos cili tersebut, memerlukan 26 kilogram tembikai dan sebotol sos cili (350 gram) dijual pada harga RM4, namun bagi pembelian lebih 24 botol sos cili harganya RM3.50 sebotol.

Mengulas mengenai bantuan kerajaan untuk peserta TKPM, Normah berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang antara yang aktif memberi bantuan kepada peserta di samping bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian.

Sementara itu Pegawai Pertanian Tawau, Dg Maisalamah Ag Kirah berkata dari 2010  hingga 2016, TKPM Batu 15 telah mengeluarkan hasil 3,407.36 tan metrik dengan pendapatan bersih RM3.2 juta.

Selain itu, dari Januari hingga Disember 2017, TKPM berjaya mengeluarkan hasil 1,002.9 tan metrik dengan memperoleh pendapatan bersih RM1.71 juta,” katanya.

Beliau berkata antara tanaman yang terdapat di tapak projek melibatkan 58 lot tanah serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jalan ladang, sistem pengairan serta pusat pengumpulan hasil itu termasuk pisang, tembikai, jagung dan pelbagai jenis sayuran seperti timun, peria dan terung.

TKPM Batu 15 merupakan TKPM pertama diwujudkan di Sabah dengan kos RM12.6 juta dan dirasmikan  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2010. — Bernama

Advertisement