Anda di sini

Jangan sewakan lesen kepada pengusaha asing, kata Pang

Advertisement

KOTA KINABALU: Syarikat atau agensi pelancongan tempatan diberi amaran agar tidak membenarkan warga asing menggunakan lesen mereka untuk beroperasi di Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Nyuk Ming berkata, terdapat kes baru-baru ini yang berjaya diselesaikan dengan baik oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berhubung seorang ejen warga Korea menggunakan lesen agensi pelancongan tempatan untuk menipu pelancong China datang ke Sabah.

Saya ingin menegaskan bahawa orang tempatan tidak seharusnya membenarkan warga asing menggunakan syarikat mereka untuk tujuan itu.

Walaupun anda menerima keuntungan RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan, sebaliknya ejen terbabit berjaya mengaut keuntungan berjuta ringgit daripada skim pelancongan yang ditawarkan.

Sekiranya ejen terbabit melakukan kes penipuan, agensi tempatan itu akan berhadapan kes saman jutaan ringgit daripada pihak pelancong kerana mereka ditipu.

Di manakah anda akan mencari duit untuk menyelesaikan perkara itu?” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahun Baharu Cina Parti Liberal Demokratik (LDP) bersama Media, di sini kelmarin.

Beliau berkata, terdapat beberapa kes penipuan sebelum Tahun Baharu Cina dan ketika perayaan itu di sini baru-baru ini apabila seorang individu warganegara Korea telah membuat sewaan untuk lima destinasi melibatkan penyewaan kapal terbang dengan tawaran harga yang sangat rendah.

Pang berkata, malangnya salah satu rombongan berjaya sampai di sini, manakala baki empat pakej destinasi itu berjaya dikesan oleh pelancong China kerana mempunyai unsur penipuan.

Pengusaha agensi pelancongan di China terpaksa datang ke sini berbincang dengan STB untuk bersama-sama menyelesaikan perkara itu. Saya menasihati mereka agar tidak sesuka hati menerima tawaran harga produk pelancongan murah di Sabah kerana negeri ini tidak mempunyai pakej seumpamanya.

Walaupun STB berjaya menyelesaikan kes ini tetapi ia satu kerugian kepada agensi pelancongan China itu kerana pelancong yang ditipu itu membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Pang turut menjelaskan bahawa kini destinasi pelancongan di pantai timur Sabah, khususnya untuk bulan ini, menerima seramai 75,000 pelancong.

Ia adalah jumlah terbesar berbanding tempoh Januari dan Februari 2017 yang hanya mencatatkan jumlah yang sama dalam tempoh dua bulan itu.

Kita menjangkakan 1,000 bilik diperlukan di destinasi pelancongan pantai timur untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Advertisement