Anda di sini

Parlimen Beluran terus membangun

Advertisement

Komitmen menyediakan kemudahan asas terus menjadi keutamaan kerajaan

BELURAN: Keluasan kawasan Parlimen Beluran sebagai yang kedua terbesar di Sabah selepas Kinabatangan tidak menjadi penghalang kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk terus melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan itu demi kesejahteraan rakyat.

Kawasan parlimen itu yang berkeluasan 7,717 kilometer persegi  meliputi dua daerah penuh iaitu Beluran dan Telupid serta sebuah daerah kecil Paitan, terus menerima pembangunan khususnya kemudahan asas untuk penduduk di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata komitmen menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya di kawasan parlimen itu terus menjadi keutamaan kerana meskipun sudah semakin membangun masih ada penduduk belum menikmati kemudahan asas berkenaan.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini, beliau berkata bagi kawasan perkampungan di daerah kecil  Paitan yang masih belum menikmati bekalan elektrik, kemudahan solar hibrid dibina untuk membolehkan beberapa kampung membabitkan lebih 3,000 rumah menerima bekalan elektrik.

Projek bekalan elektrik luar bandar solar hibrid di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dilaksanakan di Kampung Talidusun, Pinangkau, Tanngkarason, Kabulu, Pantai Boring, Tampat dan Sungai-Sungai.

Menurutnya pembinaan Loji Rawatan Air Paitan pula membolehkan penduduk di beberapa kampung di sekitar pekan Paitan menerima bekalan air.

Katanya sebuah lagi loji rawatan air turut dibina di Nangoh untuk membolehkan penduduk di kawasan Botiton hingga Pamol menerima kemudahan asas berkenaan.

Kiandee yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata bagi daerah Telupid, penyediaan bekalan air dan elektrik agak ke depan  dengan hampir 90 peratus daripada penduduknya kini menikmati kemudahan tersebut.

Bagaimanapun katanya,  usaha masih diteruskan bagi pemasangan paip ke rumah penduduk dari paip utama selain meneruskan usaha pembinaan paip di kampung-kampung yang masih belum menerima kemudahan asas itu.

Kawasan Parlimen  Beluran memerlukan peruntukan yang besar dari kerajaan bagi memastikan pembangunan kemudahan asas dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira di mana pun mereka berada,” katanya.

Dari segi kemudahan awam, Kiandee berkata pembinaan Kompleks Sukan Beluran dan Balai Bomba Beluran di pekan Beluran menjadi petunjuk kepada fasa pembangunan yang pesat di daerah Beluran.

Kompleks sukan itu mula digunakan pada Mei 2016 selepas pembinaan fasa satu membabitkan trekd an padang siap dilaksanakan.

Kemudahan ini dapat memenuhi keperluan rakyat khususnya generasi muda untuk melaksanakan aktiviti sukan dan riadah.

Fasa dua kemudahan dengan kos keseluruhan RM5 juta itu akan  membabitkan pembinaan astaka berkapasiti 700 tempat duduk, asrama berkapasiti 180 orang, gelanggang bola tampar, bola jaring, sepak takraw dan futsal serta pemasangan lampu limpah.

Sebuah balai bomba dan penyelamat yang baharu juga diwujudkan di daerah Beluran dan sudah beroperasi pada tahun lepas bagi memenuhi permintaan mendesak penduduk di daerah itu.

Menurut Kiandee, balai bomba tersebut dibina dengan kos RM6 juta amat penting bukan sahaja atas faktor permintaan penduduk tetapi juga sejajar dengan keperluan fasa pembangunan di Parlimen Beluran.

Dalam memenuhi keperluan belia, sebanyak 72 dewan orang ramai baharu dibina oleh kerajaan di sekitar kawasan parlimen itu bagi membolehkan golongan belia menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi.

Katanya, sebanyak enam gelanggang futsal juga dibina di enam kampung selain pembinaan gelanggang sepak takraw dan bola tampar di beberapa kampung lain.

Beliau berkata kemudahan tersebut masih terus dibina berikutan ada permintaan daripada belia khususnya di kawasan luar bandar.

Dari segi keperluan infrastruktur keagamaan, sebanyak 37 masjid dan 17 gereja baharu telah dibina di Parlimen Beluran  selain menaik taraf masjid-masjid dan gereja yang sedia ada.     

Kiandee berkata secara keseluruhannya masyarakat luar bandar di Parlimen Beluran kini mula menikmati perubahan demi perubahan yang dibawa oleh kerajaan.

Bagaimanapun katanya, wakil rakyat di kawasan itu termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Labuk dan Sugut akan terus menggesa kerajaan agar lebih banyak kemudahan asas terutama dari segi bekalan air, elektrik, jalan berturap, sekolah dan klinik kesihatan.

Beliau yakin usaha itu dapat direalisasikan berikutan komitmen kerajaan pusat dalam memberi perhatian kepada pembangunan kawasan luar bandar di negeri ini. — Bernama

Advertisement