Anda di sini

Kerajaan tidak pinggir veteran ATM, sentiasa diberi bantuan agar kebajikan mereka terjamin

Advertisement

BEAUFORT: Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan veteran tentera tetapi sentiasa membela nasib mereka.

Beliau berkata kerajaan tidak kira sama ada negeri atau pusat sentiasa memberi bantuan dan kemudahan kepada bekas tentera bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Katanya, kerajaan pusat telah menyediakan satu kemudahan menerusi Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen meningkatkan sosioekonomi mereka.

Kerajaan turut menyediakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) termasuklah penambahbaikan terhadap Skim Pencen Hilang Upaya serta penambahbaikan Insentif Veteran Kelainan Upaya Tabung Pahlawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-26 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Beaufort di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden Keempat PVATM Malaysia Datuk Zaman Bayang merangkap Yang Dipertua PVATM Sabah serta Ketua Cawangan PVATM Beaufort Jepdi Burajit.

Dalam pada itu, Kamarlin yang juga ADUN Lumadan berharap PVATM Cawangan Beaufort terus aktif menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat.

Beliau berkata melalui program itu, ia secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli serta barisan kepimpinannya.

Saya menggesa PVATM Cawangan Beaufort agar melaksanakan program-program yang bermanfaat bagi memastikan persatuan ini terus aktif. Saya harap ia secara tidak langsung dapat merapatkan lagi silaturahim antara mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Kamarlin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada persatuan sebanyak RM5,000 untuk menggerakkan program pada masa hadapan.

Advertisement