Anda di sini

Bekas operator kren didenda RM4,000 hantar komunikasi jelik terhadap PM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas operator kren didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana memuat naik komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung satu klip video di laman akaun Facebooknya, dua tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amirul Helmy Hisham, 24, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya semasa sebutan kes semalam.

Mahkamah juga memerintahkan OKS dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Lelaki itu membayar denda.

Muhammad Amirul Helmy didakwa menggunakan nama profilnya ‘Amirul Helmy’ di laman Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 10.23 pagi, 18 November 2016.

Komen Muhammad Amirul Helmy dibaca pada 17 Februari 2017, 9 pagi, di Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Muhammad Amirul Helmy yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Saya sudah diberhentikan kerja sejak saya didakwa di mahkamah, saya menanggung ibu bapa dan adik yang masih belajar. Sehingga kini saya tidak bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohd Sophian Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan kesalahan yang dilakukan oleh OKS adalah tidak menghormati undang-undang negara.

OKS telah menggunakan bahasa jelik, ini menunjukkan OKS memang berniat untuk membiarkan orang lain membaca dengan membuat #najibrazak supaya kata-kata jelik itu dibaca oleh pengikut-pengikut #najibrazak.

Tindakan berani OKS ini menyebabkan masyarakat atau netizen tidak kisah seperti menyebarkan berita-berita palsu,” katanya.

Mengikut fakta kes, komunikasi yang dihantar oleh OKS telah dibaca oleh seorang individu yang kemudian membuat laporan kepada MCMC dan hasil siasatan MCMC mendapati komunikasi itu telah dibuat oleh OKS dan dia kemudian ditangkap. — Bernama

Advertisement