Anda di sini

Korban di Ghouta Timur mencecah 500

Advertisement
 Mayat orang awam yang sudah dibalut dengan kain untuk urusan pengebumian disusun di rumah mayat di Douma, Ghouta Timur kelmarin. — Gambar AFP
TRAGEDI: Mayat orang awam yang sudah dibalut dengan kain untuk urusan pengebumian disusun di rumah mayat di Douma, Ghouta Timur kelmarin. — Gambar AFP

PBB sokong gencatan senjata di Syria namun perlu penuhi syarat Rusia

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuha Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menuntut gencatan senjata 30 hari di Syria, ketika serangan udara berterusan ke atas kawasan pemberontak di Ghouta Timur menyaksikan angka kematian di kalangan orang awam dalam tempoh tujuh hari mencecah 500.

 Dengan bantuan daripada Rusia, majlis mengemukakan resolusi gencatan senjata untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan perubatan, namun langkah tersebut tidak menjelaskan bila perjanjian akan dikuatkuasakan melainkan menyatakan ia haruslah tanpa penangguhan.

 Selepas pengundian majlis kelmarin, beberapa jet pejuang rejim Syria yang dibantu kuasa udara Rusia melancarkan beberapa serangan udara ke atas sebuah pekan di Ghouta Timur, menurut Syrian Observatory for Human Rights.

 Sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak antara 519 yang terkorban dalam kempen pengeboman yang dilancarkan pihak rejim pada Ahad lepas ke atas kawasan pemberontak, hanya di luar Damsyik, menurut pihak pemerhati yang berpusat di British.

 Sekurang-kurangnya 41 orang awam terkorban dalam serangan kelmarin, termasuk lapan kanak-kanak.

 Rusia menafikan mengambil bahagian dalam serangan tersebut.

 Segera mengikuti perkembangan dalam pengundian, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Kaunselor Jerman Angela Merkel ketika bercakap melalui telefon semalam dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, mendesak perjanjian dilaksanakan secepat mungkin, menurut Istana Elysee dalam satu kenyataan.

 Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian juga akan pergi ke Moscow esok.

 Pengundian PBB mulanya dijangka dilakukan pada Khamis, namun penangguhan berulang-ulang kali ketika para diplomat mengalami kebuntuan dalam rundingan tegas bagi mengelakkan kuasa veto Rusia, yang menyokong Presiden Bashar Al-Assad dari segi ketenteraan.

 Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, yang menggelar Ghouta Timur sebagai ‘neraka di muka bumi’, menyatakan gencatan senjata harus segera dilaksanakan.

 Rusia menggunakan kuasa veto bagi 11 draf resolusi sepanjang konflik Syria bagi menyekat tindakan yang menyasarkan sekutunya.

 Di Ghouta Timur, berita mengenai pengundian PBB terhadap gencatan senjata disambut dingin.

 “Saya tidak fikir keputusan ini akan dilaksanakan mahupun dihormati pihak rejim atau Rusia,” menurut Abu Mazen, penduduk Douma, pekan utama di Ghouta Timur.

 “Kami tidak mempercayai Rusia atau pihak rejim.

 “Kami sudah lali dengan pengkhianatan mereka,” tambah beliau.

 Kawalan di Ghouta Timur ditangani dua puak pemberontak utama, selain bekas sekutu Al-Qaeda di Syria.

 Para pemimpin dunia menyuarakan kemarahan susulan rayuan orang awam di Ghouta Timur, kawasan yang dikelilingi wilayah yang dikawal kerajaan.

 Malah kira-kira 400,000 penduduknya tidak sanggup atau tidak dapat untuk melarikan diri daripada rampasan maut tersebut.

 Dalam salah satu kengerian yang dilihat di sebuah hospital daerah di Douma, seorang wanita muda yang kehilangan kakinya hingga ke paras lutut, menyusu badan seorang bayi berusia 40 hari yang kehilangan seluruh keluarganya dalam pengeboman.

 Bekalan makanan kehabisan dan tiada lagi roti di pasaran tempatan.

 Pemberontak yang dikepung di Ghouta Timur membalas serangan di dalam Damsyik, di mana enam orang awam tercedera kelmarin, menurut media negara.

 Kira-kira 20 terkorban di daerah timur dari ibu negara sejak Ahad lepas, menurut media negara.

 Lebih 340,000 telah terkorban dan berjuta-juta lagi meninggalkan rumah mereka dalam peperangan, yang mana pada bulan depan memasuki tahun kelapan tanpa sebarang penyelesaian diplomatik setakat ini.

 — AFP

Advertisement