Anda di sini

PUNB lepasi sasaran 30% lahir usahawan wanita Bumiputera

Advertisement

PUTRAJAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah berjaya melahirkan usahawan wanita Bumiputera melepasi sasaran 30 peratus yang ditetapkan kerajaan, kata Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Jamelah A. Bakar.

Beliau berkata penglibatan usahawan wanita yang dilahirkan perbadanan itu dalam pelbagai bidang perniagaan berdaya saing seperti tadika, taska, resort, perhotelan, makanan dan pakaian mencapai paras 36.7 peratus pada penghujung tahun lepas.

Kita menyahut seruan kerajaan untuk memperbanyakkan usahawan Bumiputera di bandar-bandar utama atau kawasan strategik dan hasilnya sebanyak 36.7 peratus usahawan wanita telah dilahirkan sehingga akhir tahun lepas.

Ini telah melepasi sasaran yang ditetapkan dan lebih utama usahawan wanita juga merupakan ‘a good pay master’ (jurubayar gaji yang baik) kepada PUNB,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci tiga bangunan tadika di Presint 9, 15 dan 16 oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) kepada PUNB, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Jamelah berkata, PUNB mula mengalihkan tumpuannya kepada Putrajaya sebagai lokasi utama bagi pembelian hartanahnya berikutan nilai komersial yang ada di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Beliau berkata jalinan usaha sama dengan PjH selaku pemaju utama Putrajaya bermula pada 2013 dengan permeteraian perjanjian pembelian unit bangunan tadika di Presint 8, diikuti tiga unit di Presint 9, 15 dan 16 itu dengan nilai keseluruhan melebihi RM12 juta.

Unit bangunan tadika di Presint 8 dijadikan sebagai Tadika iKids Child Centre, manakala tiga premis tadika baharu itu yang dijangka siap sepenuhnya pada September depan sudah pun mempunyai penyewa, katanya.

Menurut Jamelah, sejak 2008 hingga 31 Januari lepas, PUNB telah membeli sebanyak 235 unit premis perniagaan melibatkan pelaburan berjumlah RM266.63 juta. — Bernama

Advertisement