Anda di sini

Tertuduh nafi minum arak untuk keberanian lakukan pembunuhan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tertuduh keempat dalam kes pembunuhanTimbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais menafikan bahawa dia dan tiga tertuduh lain mengadakan pesta arak sehari sebelum kehilangan Kevin Morais, bertujuan untuk membangkitkan keberanian untuk melakukan pembunuhan ke atas mendiang.

A.K Thinesh Kumar, 25, berkata demikian ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding membela diri hari keempat kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Wan Shaharudin: Awak dah minum arak sejak umur berapa?

Thinesh Kumar: Lebih kurang semasa saya umur 20 atau 21 tahun.

Wan Shaharudin: Dalam tempoh tersebut awak ‘expect’ mahkamah percaya pada 3 Sept 2015 (sehari sebelum Kevin Morais dilapor hilang) adalah pesta arak pertama bagi awak? Atau sebelum ini dah ada pesta macam itu?

Thinesh Kumar: Sebelum ini pernah berlaku, masa itu saya bekerja. Saya minum tengah malam.

Wan Shaharudin: Saya katakan pada 3 Sept 2015, kamu berpesta minum arak adalah untuk beri keberanian untuk lakukan pembunuhan ke atas Kevin Morais.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama peguam V. Rajehgopal, Thinesh Kumar memberitahu dia bersama tiga lagi tertuduh M.Vishwanath, S.Nimalan dan R. Dinishwaran telah berkumpul bersama dan minum 24 tin arak selepas makan malam pada 3 Sept tersebut sehingga jam 4 pagi, 4 Sept 2015.

Katanya selepas minum, Nimalan memberitahu dia lapar dan mereka terus pergi ke sebuah restoran berhampiran dan telah ternampak S. Ravi Chandaran dan G.Gunasekaran.

“Selepas sarapan Nimalan beritahu Ravi Chandaran yang kami mahu ke hotel, pada masa itu Gunasekaran mengajak kami untuk mengekori dia dan saya bertanya Nimalan kenapa seawal ini, katanya yang tidak mendapat jawapan atas pertanyaannya dan dia tidak lagi bertanya kenapa Gunasekaran mengajak mereka mengekori dia,” katanya.

Thinesh Kumar berkata mereka kemudian mengekori Gunasekaran dan Ravi Chandaran yang menaiki kereta Proton Perdana manakala dia, Vishwanath, Nimalan dan Dinishwaran menaiki kereta Mitsubishi Triton.

Kepada soalan Rajehgopal ke manakah mereka mengekori kereta Perdana dipandu Gunasekaran itu, Thinesh Kumar berkata dia tidak tahu kerana dia telah tertidur sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Katanya dia juga tidak tahu apa yang berlaku ketika dalam perjalanan dan hanya dikejutkan setelah mereka tiba di sebuah hotel.

Ketika ditanya Rajehgopal adakah dia tahu kenderaannya yang dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan itu, Thinesh Kumar berkata dia juga tidak tahu apa yang berlaku.

“Saya sampai ke Kuala Lumpur dari Kedah pada kira-kira jam 5.30 pagi, 3 Sept, saya langsung tidak tidur dan sebaik sampai kami terus makan, tengok wayang, main snuker dan saya berasa sangat letih dan disebabkan kami minum arak, terlampau banyak minum, saya tertidur dalam kereta,” katanya.

Kepada soalan lain, katanya dia ditangkap pada 16 Sept 2015 berhubung satu kes pembunuhan dan ketika ditanya adakah dia terlibat dengan pembunuhan itu, dia berkata: “Saya tidak tahu pun perkara sebegini berlaku”.

Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R.Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 7 Mac. — Bernama

Advertisement