Anda di sini

Sabri Yunus kesal watak ‘Pok Ya Cong Codei’ dimanipulasi pihak tertentu

Advertisement
 Pengarah dan pelakon telefilem ‘Pok Ya Cong Codei’ Sabri Yunus berkongsi pangalaman semasa program Makey Tey Bersama Pok Ya Cong Codei di sebuah hotel di Kota Bharu kelmarin. — Gambar Bernama
KONGSI PENGALAMAN: Pengarah dan pelakon telefilem ‘Pok Ya Cong Codei’ Sabri Yunus berkongsi pangalaman semasa program Makey Tey Bersama Pok Ya Cong Codei di sebuah hotel di Kota Bharu kelmarin. — Gambar Bernama

PENGARAH, pelakon, pelawak dan pengacara Mohd Sabri Yunus, 57, kesal selepas watak Pok Ya dalam telefilemnya ‘Pok Ya Cong Codei’ dimanipulasi pihak tertentu untuk pelbagai tujuan termasuk melariskan perniagaan.

Sabri berkata tindakan tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya menggunakan nama tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Saya rasa agak ralat dalam hal ini. Bukan kata ia tidak bagus kalau nama Pok Ya itu boleh memberikan rezeki kepada orang lain tetapi biarlah dengan kaedah yang betul atau sekurang-kurangnya meminta izin daripada pihak kami itu adalah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Santai Makey Tey bersama Pok Ya Cong Codei: Sengoti Ko Lipak (Minum Teh bersama Pok Ya Cong Codei: Betul atau Tipu) di Kota Bharu, kelmarin.

Program anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu dihadiri kira-kira 300 peminat Sabri yang berpeluang mengenali artis itu secara lebih dekat selain dapat mengajukan soalan berhubung telefilem ‘Pok Ya Cong Codei’.

Sementara itu, katanya, sekuel telefilem ‘Pok Ya Cong Codei’ bakal dihasilkan berikutan mendapat banyak permintaan daripada peminat.

“Kami merancang untuk membuat sekuel itu untuk tayangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti selepas perbincangan dilakukan dengan beberapa pihak termasuk sebuah stesen televisyen berbayar,” katanya.

Terdahulu, telefilem yang mula ditayangkan pada 20 Jan lepas menjadi sebutan ramai apabila naskhah arahan Sabri dikatakan menampilkan jalan cerita yang ringan tetapi cukup menarik.

Selain Sabri, ‘Pok Ya Cong Codei’ turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Mustapha Kamal, Uqasha Senrose, Fikri Ibrahim, Saidi Sabri dan ramai lagi. — Bernama

Advertisement