Anda di sini

Lelaki nafi tuduhan rogol budak

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam terhadap tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Anthony Frankie Galangi @ Mohd Hazlee Abdullah, 39, telah didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh merogol seorang  budak perempuan berusia 11 tahun dan 10 bulan (masa kejadian).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 8 Oktober 2012 di kawasan Pantai Kuala Baram.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 12 Mac depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM15,000 berserta dua penjamin tempatan dan membayar deposit RM8,000 sementara menunggu tarikh tersebut.

Mahkamah turut mengingatkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan juga mangsa dalam kes ini dan sekiranya ingkar, mahkamah boleh mengambil tindakan wajar termasuk membatalkan jaminannya.

Advertisement