Anda di sini

Lebih 200 peserta akan bersaing pada Kejohanan Catur Antarabangsa 2018

Advertisement
 Mohd Asfia (duduk tengah) bersama (dari kiri) Sebastian, Len, Idris (dua kanan), jawatankuasa penganjur dan yang lain pada sidang media semalam.
JOM SERTAI CATUR: Mohd Asfia (duduk tengah) bersama (dari kiri) Sebastian, Len, Idris (dua kanan), jawatankuasa penganjur dan yang lain pada sidang media semalam.

KUCHING: Lebih 200 pe­serta termasuk dari luar negara dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Ca­tur Antarabangsa 2018 yang akan diadakan pada 3 Mac depan di Atrium, Tingkat 2, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Pertandingan julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama DUN dan Persatuan Catur Negeri Sarawak.

Menurut Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) Belawai merangkap pengerusi penganjur, Datu Len Talif Salleh peserta yang mengesa­hkan penyertaan adalah dari Sarawak, Sabah, Terengganu, Melaka, Selangor, Labuan dan Johor.

Ini termasuk beberapa pe­serta dari negara luar seperti Filipina, Indonesia, Sri Lanka dan Nigeria.

“Kejohanan ini dianjurkan sempena sambutan ulang ta­hun ke-150 DUN Sarawak dengan mempertanding em­pat kategori iaitu VVIP, ketua jabatan, Terbuka, Veteran, Bawah 8, 10, 12, 15 dan 17 tahun lelaki dan wanita.

“Bagi kategori VVIP pe­serta terdiri Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) dan bekas-bekas ADUN (YB),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Len, selain beliau peserta kenamaan lain turut mengambil bahagian termas­uk Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Bandar Kuch­ing, Chong Chieng Jen dan ramai lagi.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu mem­beritahu sejumlah RM40,000 hadiah wang tunai dan piala menanti pemenang.

“Pertandingan ini untuk merapatkan ADUN-ADUN bersama rakyat selain mem­beri peluang kepada orang ramai dan pengunjung dari luar melawat Bangunan DUN yang tersergam indah ini,” katanya.

Beliau menambah pada hari pertandingan diadakan beberapa aktiviti sampingan bagi memeriahkan kejohanan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Catur Negeri Sarawak kerana sen­tiasa aktif menganjurkan pel­bagai program melibatkan su­kan catur di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asfia berkata penganjuran kejo­hanan itu bukan sahaja men­gangkat mutu pemain-pemain catur negeri ini malah mem­bantu melonjakkan industri pelancongan Sarawak.

“Pertandingan ini akan me­letakkan Sarawak khususnya Bandaraya Kuching sebagai lokasi pertandingan catur terkemuka serata dunia,” katanya.

Mohd Asfia dijadual meras­mikan pertandingan itu pada sebelah pagi manakala Len merasmikan penutupan seter­usnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang dan ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Advertisement