Anda di sini

Kerajaan wujud 3.6 juta kerja dalam sektor perkhidmatan

Advertisement

KOTA BELUD: Kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) telah berjaya membuka banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat di negara ini, kata Menteri Komu-nikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Sektor perkhidmatan kini menyumbang sebanyak 54.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah nilai sebanyak RM1.5 trilion pada 2017.

“Sektor ini menyediakan 3.6 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada pekerjaan berpendapatan tinggi dalam industri-industri antaranya eDagang, sektor Teknologi Maklumat dan Komu-nikasi (ICT) dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Usukan di sini semalam.

Menurut Salleh keupayaan kerajaan membuka jutaan peluang pekerjaan adalah hasil daripada dasar dan perancangan teliti yang mengambil kira perkembangan dunia semasa serta wujudnya suasana aman damai di negara ini.

Menurut Salleh dengan adanya suasana aman yang memerlukan kebijaksanaan dan kesungguhan untuk mengekal-kannya, banyak lagi perkara boleh dirancang dan  dilakukan kerajaan bagi kebaikan seluruh lapisan rakyat.

“Sebab itu, kerajaan mengambil kira  perubahan peluang-peluang pekerjaan semasa. Kalau kita tidak ambil kira, nanti pendekatan kita silap. Kalau dulu, kita mahu anak-anak kita bekerja sebagai pegawai daerah, pegawai ekskutif, kerani dan sebagainya, tetapi masa hadapan peluang pekerjaan bukan di situ.

“Peluang pekerjaan akan kita peroleh  dalam sektor perkhidmatan seperti pelancongan. Sebab itu, kita di Sabah ini, termasuk Kota Belud, memberi tumpuan kepada sektor pelancongan,” katanya.

Justeru, kata Salleh, selari dengan peluang-peluang pekerjaan baharu yang disediakan kerajaan, generasi hari ini juga perlu dipersiapkan dengan keperluan itu.

Katanya rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk memandang masa depan dengan terus menyokong pemerintahan sekarang agar kesinambungan pembangunan dan peluang-peluang pekerjaan dapat diteruskan.

“Sebab itu kita wujudkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 bermaksud masa depan anak-anak kecil (kita) hari ini pada ketika itu. Apakah akan terjadi kepada mereka kalau kita tidak sediakan prasarana untuk mereka lebih awal? Kita sediakan prasarana lebih awal lagi agar hidup mereka pada ketika itu lebih terjamin,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Salleh turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk membaiki dewan SMK Usukan, RM30,000 untuk membaiki jalan kampung dan RM20,000 lagi untuk PIBG SMK  Usukan. — Bernama

Advertisement