Anda di sini

Datuk didakwa terima deposit haram lebih RM500,000

Advertisement
 Yap mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan, Petaling Jaya, semalam.  — Gambar Bernama
DEPOSIT HARAM: Yap mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Bekas pengarah syarikat pelaburan emas bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur berjumlah lebih RM500,000, empat tahun lalu.

Datuk Yap Yee Hoo, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Yap yang hadir ke mahkamah berkemeja putih mengangguk sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan dan berkata, “faham.. tidak mengaku salah”. Turut berada di galeri awam, anak perempuan tertuduh yang hadir sebagai penjamin.

Dia didakwa menerima deposit daripada seorang peguam Tan Cheng Tat, 51, dan Mastura Abdul Muthalib, 53, ahli perniagaan, masing-masing berjumlah RM446,700 dan RM70,000 tanpa lesen yang sah di Level 1-2, Wisma BU8, No 11, Lebuh Bandar Utama, di sini, antara Julai dan November 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Yap juga mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM666,700.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, dia didakwa menyalahgunakan jongkong emas bernilai RM220,000 untuk tujuan pelaburan di syarikat Royal Gold Sdn Bhd, No 111 & 112, Blok F, Phileo Damansara, Jalan 16/11 Off Jalan Damansara, di sini, pada 15 April 2014. — Bernama

Di hadapan  Majistret Majistret Nurshahira Abdul Salim, Yap dituduh  sebagai pengarah syarikat Royal Gold Sdn Bhd secara tidak jujur menyalahgunakan wang pelanggan syarikat berjumlah RM446,700 untuk kegunaan lain di Public Bank cawangan Taipan, Subang Jaya antara Julai dan November 2014.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada  mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan menetapkan 26 Mac  untuk sebutan semula kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan. — Bernama

Advertisement