BEAUFORT: Lima sekeluarga berhadapan detik cemas selepas mendapati seekor ular sawa berada di dalam stor rumah mereka di Kampung Batandok, di sini pada Rabu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kamal Mokhtar berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan daripada mangsa jam 7.16 malam dan menggerakkan sepasukan anggota APM Beaufort ke lokasi kejadian.
“Skuad Delta dengan pantas bergerak ke lokasi dan melakukan operasi menangkap ular sawa menggunakan peralatan khas termasuk penyepit, penjerut, cangkuk, karung ular dan beberapa peralatan keselamatan lain.
“Ular sawa batik sepanjang 15 kaki dengan berat 40 kilogram berjaya ditangkap dan akan diserahkan kepada pihak perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah, operasi ditamatkan pada jam 8.14 malam.