Anda di sini

Ugut warga emas, lelaki direman hingga 22 Mac

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 22 Mac depan untuk perbicaraan kes seorang lelaki yang menghadapi tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki warga emas.

Sementara itu, tertuduh yang gagal mengemukakan jaminan RM2,800 berserta dua penjamin tempatan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan memandangkan tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tuduhan tersebut.

Katanya, lima saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan masing-masing dalam perbicaraan kes itu kelak.

Muhammad Sumardi Affendi, 29, dari Kampung Pengkalan Lutong didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah parang yang boleh menyebabkan kecederaan kepada Amin Tajudin Sutil, 64.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 31 Januari lalu di Jalan Pujut 2C, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement