Anda di sini

Rasuah: Pengurus, isteri direman

Advertisement

CHUKAI: Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan isterinya direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan kira-kira RM5.4 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Badrul Munir Mohd Hamdy membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Kelmarin SPRM menahan suspek berumur 59 tahun itu bersama isteri, 52, dua anak mereka masing-masing berumur 31 dan 34, menantu, 34, dan dua proksi di Kemaman dan ibu negara bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009. Bernama

Advertisement