Anda di sini

Lima ah long ditahan dalam serbuan di Jalan Bunga Mawar

Advertisement

LABUAN: Lima pemberi pinjam wang tidak berlesen atau  ah long ditahan sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Bunga Mawar di sini, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya melakukan serbuan kira-kira jam 11.30 pagi selepas melakukan risikan dan pemerhatian selama satu minggu.

Pihaknya melaksanakan penyiasatan berdasarkan kad perniagaan pinjaman wang syarikat peminjam wang yang diedarkan kepada orang awam.

Semasa serbuan dilakukan, polis berjaya menahan lima individu termasuk tiga wanita dan dua lelaki berumur 22 hingga 58 tahun.

Kesemua yang ditahan adalah pembantu kedai yang berasal dari Kampung Patau-Patau, Kampung Sungai Bangat, Kampung Kerupang Labuan dan dua lagi masing-masing dari Sipitang dan Tambunan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 79 barangan termasuklah wang tunai berjumlah RM34,133.30, risalah dan kad pemberi pinjam wang, buku senarai peminjam, resit, cop syarikat, salinan kad pengenalan peminjam, unit mesin kira-kira serta borang pinjaman wang kecemasan.

Hasil siasatan mendapati premis pemberi pinjam wang ini dikaburi dengan syarikat yang didaftarkan dengan perniagaan pengurusan dan perkhidmatan.

Perniagaan peminjaman wang tanpa lesen ini adalah tidak didaftarkan dan tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Suspek juga melakukan pengiklanan dengan mengedarkan kad perniagaan di kenderaan awam, dengan meletakkan di bahagian bakul motosikal, cermin serta pintu kereta,” katanya.

Katanya kesemua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana melakukan kesalahan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen.

Tambahnya, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1,000,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Advertisement