Anda di sini

Bekas COO Rapid Penang didenda RM1.05 juta

Advertisement

KUANTAN: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1.05 juta dan penjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM210,000 antara 2014 sehingga 2016.

Hakim Dasuki Ali menjatuhi hukuman tersebut terhadap Mohd Shukri Abdul Rahman, 55, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan kepadanya.

Mengikut  kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan wang tunai dalam tiga transaksi daripada Syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd sebagai dorongan membantu syarikat itu untuk mengeluarkan surat pelantikan untuk projek ‘Develop, Design, Manufacture, Supply, Delivery, Installations, Testing, Commissioning and Warranty of Bus Simulator System for Prasarana’ yang dianggar bernilai RM8 juta.

Bagi transaksi pertama, tertuduh didakwa menerima RM100,000 pada 12 Mac 2014  menerusi akaun milik rakannya di Hong Leong Bank cawangan Beserah di sini.

Bagi transkasi kedua pada 20 Jun 2016, sebanyak RM40,000 dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik isteri tertuduh di CIMB Bank cawangan Pekan.

Bagi pertuduhan ketiga iaitu kes yang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen George Town, Mohd Shukri didakwa menerima wang tunai sebanyak RM70,000 daripada syarikat sama menerusi akaun Maybank milik kakitangannya dari Maybank cawangan Penang Times Square, George Town, Pulau Pinang pada 20 April 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntuk penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili Datuk Shukri Mohamad.

Pada Ogos tahun lepas, Mohd Shukri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan dan Mahkamah Sesyen George Town bagi 42 pertuduhan rasuah melibatkan sejumlah RM508,418 yang diterima daripada beberapa syarikat bermula 2013 hingga 2017.

Daripada 42 pertuduhan berkenaan, tiga daripadanya dibacakan semula dalam prosiding semalam.

Shukri kemudian memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang ringan kepada tertuduh memandangkan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Selain itu, tertuduh turut mengalami masalah sakit jantung, kencing manis serta penyakit buah pinggang yang memerlukannya untuk menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dan hukuman penjara yang panjang tidak sesuai untuk pesakit kronik sepertinya,” katanya.

Tertuduh juga meletakkan jawatannya sebagai COO Rapid Penang pada November tahun lepas setelah lebih 11 tahun berkhidmat dan telah pun menyerahkan semula tiga kenderaan mewah yang dibelinya dengan menggunakan wang berkenaan kepada SPRM.

Bagaimanapun, Ahmad Akram memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

Hakim kemudian memutuskan supaya tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM1.05 juta serta dua minggu penjara untuk tiga pertuduhan itu manakala 39 pertuduhan lagi akan diambil pertimbangan oleh pihak mahkamah. — Bernama

Advertisement