Anda di sini

Bas jatuh gaung, 44 terbunuh

Advertisement
 Sebuah bas dilihat terdampar di tepi gunung selepas terbabas dari sebatang jalan di selatan Peru kelmarin. — Gambar AFP
TERBABAS: Sebuah bas dilihat terdampar di tepi gunung selepas terbabas dari sebatang jalan di selatan Peru kelmarin. — Gambar AFP

LIMA: Sebuah bas dua tingkat terbabas dari sebatang jalan gunung dan terjunam ke dalam gaung di selatan Peru kelmarin, dan membunuh sekurang-kurangnya 44 orang.

Bas itu terjatuh 80 meter ke bawah lereng tidak rata dari lebuh raya Pan Amerika – jalan raya utama di Peru – di wilayah selatan Arequipa.

Ketua Polis Arequipa, Jene-ral Walter Ortiz “mengesah-kan 44 kematian”, kementerian dalam negeri menyebut dalam akaun Twitternya untuk meminda bilangan terdahulu sebanyak 35.

Ortiz berkata 45 orang didaftarkan sebagai penumpang bas terbabit, tetapi kementerian berkata ini tidak selari dengan jumlah orang yang terbunuh atau cedera.

Bagaimanapun bas-bas antara wilayah di Peru kerap mengambil dan menyinggahkan penumpang dalam perjalanan, yang menyebabkan perbezaan dalam senarai penumpang asal.

Di tengah-tengah kekeliruan itu, pihak berkuasa tidak menyebut jumlah mangsa yang cedera. Ia juga tidak diketahui sama ada pemandu adalah antara mereka ataupun tidak.

Kemalangan itu berlaku dalam keadaan gelap sekitar jam 1.30 pagi (waktu tempatan).

Pasukan penyelamat termasuk anggota bomba dan polis “sudah bekerja sejak subuh, menyelaras pemindahan dan rawatan mangsa yang cedera”, Gabenor Arequipa, Yamila Osorio, menulis dalam akaun Twitternya.

Pendakwa raya bertugas sedang menjalankan kerja mengeluarkan mayat dan pakar dari bahagian siasatan kemalangan trafik polis sedang menyiasat punca nahas tersebut,” kata Ketua Polis Trafik Kolonel Jorge Castillo.

Mangsa cedera dibawa ke hospital di bandar Camana, kira-kira 57 kilometer dari lokasi kemalangan dekat bandar Ocona. 

Penyelamat menggunakan helikopter tentera untuk membawa 11 penumpang yang cedera parah ke ibu kota wilayah, Arequipa, kata Ketua Pertahanan Awam, Jacqueline Choque.

Bas itu, yang diusahakan oleh Rey Latino, meninggalkan bandar pantai Chala untuk pergi ke Arequipa kira-kira empat jam sebelum kemalangan berlaku.

Presiden Peru, Pedro Pablo Kuczynski, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi Twitter.

Semua prosedur telah diaktifkan untuk menyokong segera usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat kesihatan terdekat,” katanya.

Ia merupakan kemalangan besar kedua di jalan raya Peru pada tahun ini. Pada 2 Januari lepas, sebuah bas terjatuh ke dalam gaung di kawasan pantai tengah negara, menyebabkan kematian 52 orang.

Pihak berkuasa mengaitkan nahas itu dengan pemandu sebuah trak yang melintasi laluan bas dari lorong ber-tentangan di lebuh raya Pasamayo, yang menyimpang dari lebuh raya Pan Amerika.

Jumlah mangsa dalam nahas di Pasamayo menandingi jumlah mangsa dalam satu kemalangan pada Oktober 2013 di Cusco, ke tenggara Lima.

Hampir 2,700 maut dalam nahas trafik di Peru pada 2016, menurut perangkaan rasmi terbaharu yang sedia ada. — AFP

Advertisement