Anda di sini

Keuntungan bersih MAHB melonjak tiga kali ganda

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM237.09 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017 berbanding RM73.17 juta yang dicatatkan pada 2016.

Pendapatan kumpulan pada 2017 menokok sebanyak 11.5 peratus kepada RM4.65 bilion daripada RM4.17 bilion, berikutan pertumbuhan dalam lapangan terbang dan operasi bukan lapangan terbang.

Operasi lapangan-lapangan terbang mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 9.8 peratus, selepas dipacu oleh segmen aeronautik dan bukan aeronautik,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Dalam suku keempat, MAHB  merekodkan penurunan keuntungan bersih kepada RM27.85 juta berbanding RM37.12 juta dalam suku yang sama pada 2016.

Bercakap mengenai unjuran, pengendali lapangan terbang itu memberitahu 2018 menjanjikan prospek yang baik kepada MAHB.

Kumpulan kekal komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui penerapan budaya yang berteraskan pelanggan dalam operasi lapangan terbang bagi menyediakan pengalaman pendigitalan serta lapangan terbang yang inovatif untuk penumpang, syarikat penerbangan dan peruncit,” kata MAHB.

Pengendali lapangan terbang itu mencadangkan pemberian dividen tahap satu sebanyak lapan sen sesaham biasa MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017.

Bersama-sama dengan dividen interim awal sebanyak 5 sen sesaham, jumlah dividen yang diisytiharkan bagi 2017 mencecah 13 sen sesaham berbanding 10 sen sesaham yang diumumkan pada 2016.

Sementara itu, MAHB juga berkata ia telah mendedahkan petunjuk prestasi utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, secara sukarela, mencerminkan komitmen MAHB ke atas ukuran prestasi yang telus dan urus tadbir korporat yang baik. — Bernama

Advertisement